Sabtu, 14 March 2020 | 1:00pm
Nelissa Nezam mengharapkan perpisahan dengan Ammar Alfian berakhir dengan baik. - Foto Instagram Nelissa Nezam
Nelissa Nezam mengharapkan perpisahan dengan Ammar Alfian berakhir dengan baik. - Foto Instagram Nelissa Nezam

Tetap tuntut cerai

KUALA LUMPUR: “Tak mengapa, saya membiarkan dia menang di media sosial, tetapi saya mahu menang di mahkamah nanti,” kata Nelissa Nezam mengenai isu pergolakan rumah tangga dengan suami yang juga pelakon, Ammar Alfian.

Nelissa berkata, dia sudah memfailkan perceraian, sejak Januari lalu. Ketika ini, semua dalam proses penyemakan termasuk beberapa perjanjian dan hak penjagaan anak.

“Saya harap pengakhiran yang baik. Ikutkan, saya tak boleh cakap banyak mengenainya kerana kes perbicaraan sedang berjalan. Saya tak sabar menantikan semuanya selesai dengan baik.

“Sejujurnya, saya lega selepas membuat keputusan memfailkan perceraian. Saya mahu bina kehidupan baharu bersama anak,” katanya ketika ditemui di pertunjukan fesyen koleksi raya, Alia Bastamam di White Box, Publika, baru-baru ini.

Jelas Nelissa, dia sudah tawar hati dan nekad dengan keputusan untuk berpisah.

”Saya sudah nampak bagaimana hala tuju hidup, biarpun pengakhiran tidak seperti yang diinginkan. Saya sudah memberikan yang terbaik dalam rumah tangga.

“Mungkin juga saya berikan kepada orang yang salah. Jadi, saya bersedia untuk ‘move on’.

“Saya tetap dengan pendirian untuk tidak kembali kepadanya sejak isu menduakan saya ketika hamil enam bulan, tahun lalu,” katanya kepada BH Online.

Nelissa berkata, sebagai isteri, dia menjangkakan sesuatu yang lebih daripadanya. Tetapi, sebaliknya berlaku. Namun, hidup perlu kena diteruskan.

“Saya tahu manusia tak lepas daripada melakukan kesilapan. Tetapi, semuanya sudah terlambat, biarpun ia berakhir dengan penyesalan,” katanya.

Nelissa berkata, dia tidak akan memisahkan kasih sayang seorang bapa dengan anaknya.

”Saya bukannya jenis ibu yang menghalang bapa berjumpa anaknya. Saya bukan seperti itu, malah dia boleh berjumpa anaknya, selama ini.

”Cuma, saya masih menunggu hitam putih daripada pihak mahkamah untuk menentukan hak melawat anak,” katanya.

Nelissa dan Ammar mendirikan rumah tangga pada 6 Mac 2016 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Kyro Shakur berusia tujuh bulan. Pada 6 Mac lalu, genap empat tahun usia perkahwinan mereka.

Berita Harian X