Ahad, 15 March 2020 | 1:28pm
Joy enggan mendedahkan identiti tunang dalam perkongsian di Instagram. Mereka bertunang di kediaman Joy di Shah Alam, semalam. Foto Ihsan Joy Revfa
Joy enggan mendedahkan identiti tunang dalam perkongsian di Instagram. Mereka bertunang di kediaman Joy di Shah Alam, semalam. Foto Ihsan Joy Revfa

Joy Revfa bertunang dengan rakan kongsi

KUALA LUMPUR: Bekas isteri penyanyi, Hafiz Hamidun, usahawan kosmetik, Joy Revfa bertunang dengan rakan kongsi perniagaan di Shah Alam, semalam.

Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin, 32, bagaimanapun, enggan mendedahkan identiti jejaka pilihan hati yang bakal dinikahi, tahun ini.

Malah, pada perkongsian di Instagram, Joy ‘menutup’ wajah tunang dan anggota keluarganya, namun meletakkan tag di bawah akaun @zurev_ahmax pada entri terbabit.

“Majlis pertunangan dibuat sederhana dan tertutup. Saya bersyukur majlis dihadiri teman rapat seperti Heliza Helmi, Mawar Karim dan Lufya.

“Insya-Allah, majlis perkahwinan dirancang, tidak lama lagi... Insya-Allah tahun ini juga,” katanya kepada BH Online.

Joy bersyukur ibunya, Sofia Abbas merestui pertunangan ini malah menjadi individu penting dalam membuat hiasan bagi setiap sudut rumah.

“Dulang hantaran pun ibu saya sediakan,” katanya.

Bercerita mengena jejaka pilihan hati, Joy mengaku mengenali rakan kongsinya itu, akhir tahun lalu.

“Kami bertemu pada mesyuarat di mana saya mahu melebarkan skop perniagaan dalam bidang kecergasan diri.

“Tunang saya adalah jurulatih kecergasan dan memiliki perniagaan sendiri. Akhirnya, kami jadi rakan kongsi di bawah Merve Fitness.

“Sejak itu, kami mula kenal hati budi masing-masing. Dia memiliki ciri-ciri lelaki idaman saya,” katanya sambil menambah tunangnya menjaga solat dan hubungan dengan bukan muhrim, selain mendalami ilmu agama.

Joy pernah dua kali mendirikan rumah tangga termasuk dengan Hafiz. Namun, mereka bercerai pada 2017. Dalam perkahwinan pertama, Joy dikurniakan anak, Arryan Firdaus yang berusia enam tahun.

Berita Harian X