Ahad, 22 March 2020 | 6:12pm
Alha mengumumkan sudah menceraikan Azlin selepas hampir enam bulan hidup bersama, melalui pengakuan di FB dan IG. Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Alha mengumumkan sudah menceraikan Azlin selepas hampir enam bulan hidup bersama, melalui pengakuan di FB dan IG. Foto NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Alha Alfa, Azlin bercerai

KUALA LUMPUR: Selepas hampir enam bulan hidup bersama, usahawan kosmetik, Datuk Alha Alfa mengesahkan sudah menceraikan isteri, Datin Noor Azlin Ismail.

Membuat pengakuan di Facebook (FB) dan Instagram (IG), Alha atau nama penuh, Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil menjelaskan, beliau melepaskan Azlin sebagai langkah terbaik menangani kemelut rumah tangga mereka.

“Saya cuba sembunyikan perkara ini, hari ini, ada hamba Allah yang menulis dan menyebarkan berita ini.

“Mungkin juga ini salah satu jalan Allah ingin membuka ruang dan jalan untuk kami. Saya seboleh-bolehnya ingin berdiam diri dan tak nak membesarkan hal ini supaya aib kami terjaga.

“Tapi mungkin juga ini ujian berat dalam hidup saya,” katanya sambil menambah sudah meminta izin bekas isterinya untuk memuat naik entri berkenaan.

Bagaimanapun, pada entri itu, Alha tidak menyatakan tarikh perceraian mereka.

Alha, 32, menikahi Azlin di Taiping, Perak pada 28 September lalu.

Alha berkata, beliau dan bekas isteri sepakat menamatkan perkahwinan secara damai dan berharap tiada pihak yang akan mengeruhkan keadaan.

“Saya amat berterima kasih kepada bekas isteri yang membahagiakan saya selama setengah tahun bersama.

“Mungkin beliau masih muda dan impikan hidup bersama, sedangkan pekerjaan ini dan masa saya sangat terhad. Saya berkahwin ketika perniagaan sedang naik. Banyak masa dan keringat saya kumpul keselesaan pada masa tua nanti bersamanya, terhenti di sini.

“Mungkin terlalu banyak penggambaran, kerja luar dan lain-lain lagi membuatkan beliau (Azlin) tidak boleh terima kerjaya saya.

“Benda ini akan menjadi perselisihan faham apabila saya hendak pergi kerja. Saya risau nak keluar rumah untuk bekerja... Saya hampir hilang diri saya,” katanya.

Alha berkata, bekas isteri mungkin boleh menerima pekerjaan, kehidupan dan pangkat beliau (Alha) sebelum berkahwin.

“Tetapi apabila hidup bersama, akan sentiasa rasa cemburu dan tidak puas hati. Sumpah, saya faham dan cuba meletakkan diri dalam keadaan beliau.

“Sapa saya untuk memaksa beliau memahami saya,” katanya.

Alha mendakwa, kehidupannya bersama Azlin normal dan mereka hampir pasti menjadi ibu bapa tetapi bekas isteri mengalami keguguran.

“Hari itu, saya dah hendak menjadi ayah tetapi keguguran... Mungkin belum ada rezeki.

“Tetapi apa yang pertahankan ini tidak panjang, saya tak nak beliau kemurungan dan ‘stress’ berpanjangan, ugut hendak mencederakan diri dan lain-lain,” katanya.

Berkongsi foto menampakkan kesan calar pada dada dalam entri itu, Alha mendakwa, dia bergelut dengan Azlin bagi menghalang bekas isteri mencederakan dirinya.

“Saya tak boleh dan ‘kalah’ dalam bab ini sebab saya tidak dibesarkan dalam situasi macam ini. Mungkin gurauan bagi beliau tetapi ini sangat menakutkan saya.

“Jadi, saya lepaskan beliau sebaiknya,” katanya.

Tambah Alha, beliau tidak boleh meninggalkan bidang solekan yang sudah menjadi mata pencarian hidupnya.

“Syarikat saya, kakitangan... Kalau saya kalah, semuanya habis. Tidak mengapalah isteriku, semoga beliau berjumpa pasangan yang betul-betul memahami kehendaknya.

“Maafkan saya kerana gagal mengemudi bahtera ini ke syurga,” katanya sambil menambah niat untuk berbulan madu di Makkah bersama Azlin tidak kesampaian berikutan penularan COVID-19.

Berita Harian X