Isnin, 23 March 2020 | 3:57pm
Nourul Depp memilih lagu Gemilang nyanyian asal, Ella sebagai semangat berjuang menentang COVID-19. - Foto Nourul Depp
Nourul Depp memilih lagu Gemilang nyanyian asal, Ella sebagai semangat berjuang menentang COVID-19. - Foto Nourul Depp

COVID-19: Video istimewa buat rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Semangat patriotik dan cintakan negara tetap subur di hati barisan penyanyi tanah air, biarpun penularan wabak COVID-19 semakin membimbangkan dengan angka kematian kian meningkat setiap hari.

Penyanyi, Nourul Depp menghasilkan video menghimpunkan ramai penyanyi popular untuk memberikan semangat dan harapan kepada rakyat Malaysia.

Nourul memilih lagu Gemilang, nyanyian Ratu Rock Malaysia, Ella melalui album Ella USA untuk dijadikan lagu semangat terus berjuang menentang COVID-19.

Antara penyanyi yang menyertai dalam misi itu termasuklah Ella, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Yuna, Ning Baizura, Daphne Iking, Dynas Mokhtar, Floor 88, Adibah Noor, Zahida Rafik dan Rozi Abdul Razak (pengurus Siti Nurhaliza).

Terdahulu, aktres Hollywood, Gal Gadot mencetuskan idea sama dengan menggabungkan rakan artis menyanyikan lagu Imagine dendangan John Lennon. Manakala, hos bual bicara Indonesia, Najwa Shihab berjaya menggabungkan penyanyi seberang bersatu dalam memupuk semangat dan usaha menghindari wabak berbahaya terus menular.

“Saya terpanggil melakukan misi ini atas inspirasi Gal Gadot yang berjaya menghimpunkan penyanyi luar negara untuk menyampaikan mesej dan suntikan semangat ketika seluruh dunia berdepan wabak COVID-19 ini.

“Saya terharu ramai penyanyi luar negara melakukan perkara yang sama. Ia adalah usaha yang harus dilakukan dikalangan selebriti yang memiliki pengaruh besar.

“Saya mengambil inisiatif ini bukan kerana sesiapa atau kerajaan. Ia atas dasar kemanusiaan, selaku insan bernyawa. Ini untuk keselamatan rakyat dan negara tercinta,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Kerana Terluka itu berkata, lagu Gemilang dilihat bertepatan dengan apa yang ingin disuarakan.

“Saya peminat Ella. Saya rasa cukup bertuah kerana Ella menjayakan misi ini.

“Lagu Gemilang memberi semangat pada rakyat Malaysia dengan harapan permasalahan ini akan berakhir jika kita mengikut arahan kerajaan.

“Sudah tentu kerajaan ada sebab meminta rakyat mengikut Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari. Namun, apa yang menyedihkan, masih ada segelintir rakyat Malaysia tak ambil tahu dan ingkar arahan. Apakah mereka fikir kerajaan suruh duduk di rumah tanpa sebab?,” katanya.

Nurul berkata, dia melakukan gerak gempur bertanya penyanyi dan pengurus mereka untuk mengajak menyertai misi berkenaan, sejak Jumaat lalu.

“Ada beberapa penyanyi yang tidak dapat dihubungi kerana saya kehilangan nombor telefon mereka,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X