Selasa, 24 March 2020 | 8:07pm
Ernie Zakri mengumumkan bertudung menerusi laman Instagram, hari ini. - Foto Instagram Ernie Zakri
Ernie Zakri mengumumkan bertudung menerusi laman Instagram, hari ini. - Foto Instagram Ernie Zakri

Ernie Zakri bertudung

KUALA LUMPUR: Manis bertudung, penyanyi, Ernie Zakri, 28, mengumumkan penampilan terbaharu menerusi laman Instagram, hari ini.

Perkongsian penyanyi lagu Ku Bersuara dengan penampilan berhijab disambut dengan pujian. Malah, ramai teman artis mengucapkan tahniah atas keputusannya menutup aurat.

Ernie berkata, dia nekad memakai tudung secara rasmi, hari ini.

“Jujurnya, saya masih dalam proses membiasakan diri.

“Moga saya terus istiqamah dan melakukannya kerana Allah SWT.

“Ikutkan, saya sudah lama menyimpan niat mahu berhijab. Cuma, kekuatan melakukan perubahan makin mencengkam diri selepas kita diuji dengan musibah penularan wabak COVID-19,” katanya kepada BH Online.

Juara pertandingan Bintang RTM 2009 itu berkata, dia menghantar mesej pada ibunya kira-kira jam 2 pagi, semalam untuk memberitahu keinginannya mahu berubah imej.

“Saya mesej Mama, biarpun kami tinggal sebumbung. Saya berada di tingkat atas, Mama pula di bawah. Saya nyatakan keputusan mahu bertudung.

“Nyata, ia menggembirakan hati Mama. Saya akui ada di kalangan ahli keluarga terkejut dengan keputusan ini, apatah lagi pada saat kerjaya sedang meluncur laju.

“Saya percaya seseorang harus tekad membuat keputusan besar dalam hidup, terutama soal penghijrahan diri tanpa tekanan sesiapa,” katanya.

Ernie atau nama sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakrie berkata, dia pernah berjanji dalam diri, tahun 2020 menjadi titik penghijrahan buatnya.

“Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan dan tersusun cantik.

“Pada saat saya berehat daripada kerja seni akibat situasi penularan wabak COVID-19, Allah SWT memakbulkan doa yang tersimpan dalam hati.

“Saya mungkin mengambil masa memutuskan perkara ini, tetapi ia adalah kewajipan,” katanya.

Katanya, dia sudah terdetik dalam hati mahu berubah menjadi lebih baik sebelum menunaikan umrah pada penghujung tahun lalu.

“Saya rasa gembira dan lengkap setiap kali bertudung. Penghijrahan ini tidak akan mengubah diri saya dan apa yang dilakukan. Saya akan terus menyanyi,” katanya akan muncul dengan muzik video single terbaharu berjudul Gundah pada 27 Mac ini.

Ernie berkata, dia berharap peminat tidak keliru sekiranya ada rakaman atau gambar tidak bertudung disiarkan.

“Jika nampak saya tidak bertudung, itu gambar atau video lama,” katanya memohon ditetapkan hati.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X