X
Rabu, 25 March 2020 | 8:30am
Fikry Ibrahim (dua dari kiri) memberi sumbangan roti dan mi segera untuk penuntut UiTM, Shah Alam di Pusat Khidmat Pelajar, Seksyen 7, Shah Alam. NSTP/Rohanis Shukri
Fikry Ibrahim (dua dari kiri) memberi sumbangan roti dan mi segera untuk penuntut UiTM, Shah Alam di Pusat Khidmat Pelajar, Seksyen 7, Shah Alam. NSTP/Rohanis Shukri

COVID-19: Fikry prihatin nasib penuntut UiTM

KUALA LUMPUR: Melalui zaman keperitan sewaktu bergelar penuntut mendorong pelakon, Fikry Ibrahim, 26, menghulurkan bantuan untuk pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19.

Bantuan berbentuk makanan seperti roti dan mi segera disumbangkan kepada penuntut yang menginap di luar kampus yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dikuat kuasa sejak minggu lalu.

Fikry berkata, ia adalah hasil inisiatifnya kerana memahami keadaan penuntut yang berdepan dengan kedudukan kewangan terbatas.

Bagaimanapun, katanya, dia berharap usahanya tidak disalah erti. Malah, dia juga bimbang dituduh menunjuk-nunjuk selepas memberi sumbangan.

Awalnya, pemenang tempat ketiga program Lawak Solo itu enggan berkongsi usahanya itu. Namun, selepas puas memujuk akhirnya pelakon drama Cik Reen Encik Ngok Ngek akur sekiranya usaha murninya boleh menjadi inspirasi kepada masyarakat.

“Usaha murni ini lahir atas inisiatif sendiri, bukan pengaruh sesiapa. Saya terpanggil menghulurkan bantuan kerana bersimpati memikirkan nasib penuntut yang tidak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu.

“Saya tahu tak ramai mereka boleh memasak di rumah, ada masa tiada wang mencukupi. Lagipun, UiTM juga ditutup, jika ada program yang boleh ambil makanan sekurang-kurangnya ringan sedikit bebanan mereka.

“Saya pernah bergelar penuntut, jadi saya tahu keadaan mereka. Saya juga pernah tidak makan kerana kekurangan wang. Jadi, saya terus menghubungi pihak UiTM yang menguruskan hal ehwal pelajar untuk memanjangkan bantuan berkenaan,” katanya kepada BH Online.

Fikry berkata, bekalan makanan yang dihulurkan mungkin boleh bertahan selama beberapa hari. Tetapi, dengan jumlah penuntut yang ramai, ia mungkin boleh habis dalam tempoh lebih singkat.

“Saya tak tahu berapa lama bekalan makanan boleh bertahan. Mungkin perlu dibantu lagi. Saya akan menghubungi pihak UiTM sekiranya perlu.

“Cuma, saya berharap semoga lebih ramai dapat membantu. Tak kisah dalam apa juga situasi,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X