Khamis, 26 March 2020 | 8:30am
Fitri memaklumkan isteri yang dinikahi, Disember lalu, keguguran, sebulan kemudian. oto NSTP/Aziah Azmee
Fitri memaklumkan isteri yang dinikahi, Disember lalu, keguguran, sebulan kemudian. oto NSTP/Aziah Azmee

Isteri Fitri Haris keguguran

KUALA LUMPUR: Hasrat penyanyi nasyid Fitri Haris menimang cahaya mata tidak kesampaian apabila isterinya keguguran, Januari lalu.

Biarpun sedih, penyanyi Suara Azam ini reda dengan ketentuan Ilahi. Fitri menyifatkan rezeki masih belum berpihak kepada mereka.

“Apabila dimaklumkan isteri saya hamil, saya sangat teruja. Tidak sabar mahu memiliki bayi kerana anak saya daripada perkahwinan lalu sudah berusia 16 tahun.

“Tetapi hendak buat macam mana, tiada rezeki apabila isteri mengalami keguguran, Januari lalu.

“Cuma saya tidak berkongsi berita itu dalam media sosial. Doakan moga kami diberi rezeki pada masa hadapan," katanya kepada BH Online.

Disember lalu, Fitri mengumumkan dia bernikah dengan pengurusnya, Fazilah Omar. Bagaimanapun, Fikri merahsiakan tarikh sebenar dan lokasi majlis pernikahan itu.

Sementara itu, penyanyi berusia 35 tahun ini akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga terpaksa menunda banyak projek termasuk Konsert This Is Nasyid.

“Sepatutnya, pada 12 April ini, saya tampil pada konsert bersama beberapa penyanyi nasyid di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Namun, apabila PKP bermula, projek itu terpaksa ditangguhkan.

“Selain itu, ada persembahan nyanyian dan ceramah yang terpaksa ditunda. Bukan batal kerana ada antara projek itu, saya sudah mengambil deposit atau bayaran pendahuluan.

“Jadi, saya perlu tunggu semua berakhir barulah tarikh baharu dipilih,” kata bekas juara program Gema Gegar Vaganza musim kedua ini.

Berita Harian X