Jumaat, 27 March 2020 | 9:00am
Bella teruja menanti reaksi peminat terhadap single terbarunya, Tenang yang dilancarkan tengah malam tadi. Foto Ihsan Universal Music Malaysia
Bella teruja menanti reaksi peminat terhadap single terbarunya, Tenang yang dilancarkan tengah malam tadi. Foto Ihsan Universal Music Malaysia

Bella Astillah mahu tenang-tenang sahaja

KUALA LUMPUR: Empat belas tahun meninggalkan studio rakaman, Bella Astillah kembali merakamkan lagu ciptaan Audi Mok berjudul Tenang yang dilancarkan di platform digital, tengah malam tadi.

Jika masih ingat, ibu tunggal beranak satu ini pernah merakamkan album kanak-kanak dengan menyanyikan koleksi lagu rakyat seperti Bangau Oh Bangau, Tom Tom Bak dan Air Pasang Dalam bersama adik, Didi Astillah.

Melalui album kanak-kanak itu, Bella dan Didi dikenali sebagai Adik-Adik Mutiara. Bermula dari situ, bakat Bella mula berkembang.

Kali terakhir Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 26, merakamkan lagu adalah ketika berusia 12 tahun menerusi lagu tema Diara Ramadan Rafique.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Bella berkata, Tenang bukanlah kisah hidupnya 100 peratus.

“Saya percaya setiap individu mahukan kehidupan yang baik. Bagi saya, apabila kita sentiasa positif, Insya-Allah mudah untuk rasa tenang. Dari situ, saya dan komposer mendapat sedikit inspirasi untuk menghasilkan lirik lagu Tenang.

“Lirik lagu lebih kepada ingin berkongsi perasaan positif untuk bersangka baik dengan ujian dan jangan putus asa,” katanya kepada BH Online.

Ibu kepada Ayden Adrean ini memberitahu, walaupun sudah lama meninggalkan dunia rakaman, pengalaman menyiapkan Tenang cukup mengujakan.

Apatah lagi dia dibantu komposer hebat dan berpengalaman lalu memudahkan proses itu.

“Proses merakamkan lagu Tenang sebenarnya sangat tenang. Segala-galanya dipermudahkan. Alhamdulillah, dengan bantuan Audi, saya lebih selesa dan proses sangat mudah.

“Kami saling bertukar pendapat. Itu yang memudahkan lagi proses rakaman. Begitu juga ketika memperdengarkan melodi lagu. Audi sangat memahami dan kreatif,” katanya.

Lagu Tenang dilancarkan secara rasmi di semua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer Joox dan Apple Music sejak tengah malam tadi.

Manakala video muzik dilancarkan di saluran YouTube Universal Music Malaysia pada jam 3 petang ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X