Jumaat, 27 March 2020 | 11:00am
Mark mencari jalan menghantar wang kepada ibunya di Filipina selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq
Mark mencari jalan menghantar wang kepada ibunya di Filipina selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Foto NSTP/Zunnur Al Shafiq

COVID-19 : Mark buntu cari jalan kirim wang kepada ibu

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelawak, Mark Adam buntu memikirkan cara mengirimkan wang kepada ibunya di Filipina berikutan khidmat penghantaran yang sering digunakan di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara, ditutup akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mark mendakwa, serasi menggunakan khidmat agensi terbabit, dia dan isteri tercari-cari kaedah terbaik mengirimkan wang kepada ibu, Florenda Macaraig Echivarre yang menetap di Cebu.

Kali terakhir bertemu ibu, Januari lalu, penyanyi yang popular dengan lagu Pencuri memberitahu, keluarga di Filipina juga dikenakan perintah berkurung akibat penularan COVID-19.

“Diharapkan mereka baik-baik sahaja di rumah. Iyalah, kami dengar di sana pun ada banyak kes COVID-19.

“Bagaimanapun kami selalu berhubung dan bertanya khabar melalui telefon. Alhamdulillah, ibu saya dalam keadaan baik,” katanya kepada BH Online.

Mark atau nama penuhnya, Mark Adam Fikri Abdullah mengaku terkesan dengan PKP apabila banyak aktiviti seni dibatal atau ditangguhkan berikutan PKP.

“Banyak komitmen saya yang perlu diubah. Namun, tidak mengapa. Ini semua demi keselamatan orang ramai. Duit kita boleh cari, nyawa orang tidak boleh.

“Tempoh berkurung ini adalah langkah yang baik dan terbukti berkesan di China. Jumlah kematian di negara itu merosot sekarang.

“Saya percaya Malaysia boleh diselamatkan dengan kerjasama semua orang. Marilah kita bekerjasama dengan duduk di rumah,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X