Ahad, 29 March 2020 | 8:30am
Penyanyi, SonaOne muncul dengan single terbaharu, Bomba tidak lama lagi. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Penyanyi, SonaOne muncul dengan single terbaharu, Bomba tidak lama lagi. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Eksperimen SonaOne

KUALA LUMPUR: Penyanyi rap, SonaOne tidak pernah jemu melakukan eksperimen dalam setiap lagu yang dihasilkannya.

Menerusi single berentak rancak berjudul Bomba, SonaOne menyifatkan lagu terbaharunya itu cukup perisa kerana menggabungkan tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.

“Lagu ini karya istimewa, ceria dan dihasilkan dalam tiga versi bahasa. Ia permainan jiwa saya.

“Terdapat aliran lirik puitis dan baris yang kerap diucap dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Perancis disampaikan dengan selingan nuansa pop, R&B dan bunyian rap.

"Saya percaya lagu ini mampu menonjol dan menangkap halwa telinga pendengar berteraskan elemen muzik kelab malam yang diselitkan,” katanya.

Lagu Bomba, ciptaan SonaOne sepenuhnya menjadi lagu pengenalan buat album terbaharu yang bakal dilancarkan, tidak lama lagi.

“Single Bomba adalah keluaran pertama album berjudul Freestyle Play yang akan muncul, tidak lama lagi. Album ini menjanjikan pendengar dengan lagu berkualiti.

“Dari sudut sonik atau bunyian, saya ingin pendengar merasai apa yang dirasakan pada kala berada dalam studio semasa proses rakaman. Ini suatu situasi dunia terbatas dengan imaginasi,” katanya.

Katanya, gabungan irama pop dan hip hop memberi kelainan buat lagu Bomba.

“Lagu ini boleh dikatakan intaian ke era yang baharu. Ia seperti langkah pertama hingga ke aras seterusnya. Kini, gabungan pop dan hip hop menjadi kebiasaan dalam dunia muzik.

“Namun, saya tak pernah berpuas hati dalam berkarya. Bersedialah untuk melangkah satu dunia baharu. Andai terhidu api lekas hubungi Bom-Bomba," ujar penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan Joe Flizzow menerusi lagu Apa Khabar.

Lagu Bomba sudah boleh didengar di seluruh pelantar digital.

Berita Harian X