Ahad, 29 March 2020 | 5:55pm
Ernie menjelaskan penggambaran video muzik Gundah disiapkan ketika dirinya belum bertudung. Foto Ihsan Ernie Zakri
Ernie menjelaskan penggambaran video muzik Gundah disiapkan ketika dirinya belum bertudung. Foto Ihsan Ernie Zakri

'Itu masa saya belum berhijab'

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ernie menjelaskan tindakan memuat naik foto memaparkan dirinya tidak berhijab di laman sosial bukan untuk memancing emosi mana-mana pihak jauh sekali mencetuskan kontroversi.

Sebaliknya, kata Ernie, foto dimuat naik itu adalah untuk mempromosikan video muzik Gundah yang baru dilancarkan.

“Sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mempromosikan muzik video berkenaan.

“Penggambaran muzik video itu dilakukan sebelum saya berhijab. Saya memutuskan untuk bertudung baru beberapa hari lalu.

“Justeru saya harap, tidak ada pihak yang melatah atau mengecam saya hanya kerana perkongsian saya itu.

“Saya masih boleh berfikir dengan waras dan berharap semua pihak dapat mendoakan yang baik-baik untuk saya,” katanya kepada BH Online.

Isu itu timbul apabila penyanyi Ku Bersuara ini dikecam netizen kerana berkongsi foto yang menampakkan rambut di akaun Instagram.

Menjawab spekulasi bertudung kerana mahu berkahwin, penyanyi bervokal mantap ini menafikan perkara itu.

Ernie atau nam sebenarnya, Nur Ernie Shahirah Zakri berkata, dia sudah lama memasang niat berhijab selepas mengerjakan ibadat umrah, Disember lalu.

“Bukan sebab nak kahwin tapi saya memang sudah lama berniat mahu bertudung iaitu selepas pulang dari mengerjakan umrah.

“Cadangannya dalam tahun ini cuma saya tidak tetapkan bila.

“Keputusan berhijab datang secara tiba-tiba. Lagipun dalam keluarga saya, semua orang sudah bertudung. Cuma saya sahaja belum.

“Alhamdulillah, ramai yang suka dan memuji penampilan baharu saya ini termasuk rakan duet, Syamel,” kata penyanyi berusia 27 tahun ini.

Mengulas video muzik Gundah, Ernie berkata, dia menjadikan kisah hidup arwah datuk dan nenek sebagai sumber inspirasi.

“Lagu Gundah diilhamkan daripada kisah hidup mereka. Bagaimana keadaan datuk selepas ketiadaan nenek. Lagu ini menceritakan mengenai perasaan kehilangan,” katanya.

Sejak ditayangkan di YouTube kelmarin, video muzik Gundah merekodkan kira-kira 200,000 tontonan.

Berita Harian X