Isnin, 30 March 2020 | 7:17pm
Mimie (kiri) yang mengurus Misha sentiasa memastikan penyanyi itu beringat dengan membuat tabungan bagi menghadapi pasang surut dunia seni. - NSTP/Ihsan Mimie Omar
Mimie (kiri) yang mengurus Misha sentiasa memastikan penyanyi itu beringat dengan membuat tabungan bagi menghadapi pasang surut dunia seni. - NSTP/Ihsan Mimie Omar

COVID-19: Artis pun kena menabung

KUALA LUMPUR: Pentadbiran kewangan bijak dan langkah berjimat-cermat menjadi antara strategi pengurus artis menghadapi situasi tidak terduga yang boleh menjejaskan ‘periuk nasi’ selebriti.

Dengan berkuat kuasanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, banyak persembahan artis terpaksa ditunda atau dibatalkan.

Sehubungan itu, langkah pencegahan awal mampu memastikan artis ‘bernafas’ dalam tempoh sukar ini.

Pengurus Dayang Nurfaizah, Sharina Ahmad memberitahu, dia sering mengingatkan penyanyi itu menabung kerana pendapatan sebagai anak seni ada pasang surutnya,

“Saya selalu nasihatkan Dayang membuat simpanan sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan. Ini pesanan yang diberi artis senior sebagai persediaan tatkala berhadapan detik sukar.

“Bukan semua penyanyi dapat tawaran persembahan setiap hari. Ada masa langsung tiada ‘show’. Apabila itu berlaku, artis tidaklah rasa terbeban sangat,” katanya kepada BH Online.

Tambah Sharina, sejak pelaksanaan PKP, banyak tawaran persembahan membabitkan penyanyi Sebentar itu terpaksa ditangguhkan.

Ini termasuk persembahan amal bersama Datuk Jamal Abdillah menerusi Konsert Alunan Irama di Istana Budaya yang sepatutnya berlangsung pada 11 April ini, selain undangan menyanyi pada majlis perkahwinan.

Turut mengamalkan langkah serupa adalah penyanyi Misha Omar. Menurut pengurusnya, Mimie, dia perlu merancang kedudukan kewangan penyanyi jagaannya itu atas kesan jangka panjang yang mungkin berlaku.

“Kita kena fikir bukan setakat dalam tempoh PKP sahaja, malah selepas itu.

“Rasanya kebanyakan syarikat korporat akan lebih berhati-hati untuk berbelanja. Secara tidak langsung ini menjejaskan daripada segi tawaran persembahan.

“Selain membuat simpanan, kami turut mendapatkan nasihat pegawai kewangan. Mujur Misha bukanlah jenis boros berbelanja. Kehidupan Misha yang sederhana membantu dalam saat kritikal seperti ini,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X