Jumaat, 3 April 2020 | 8:30am
Yonny Boi singkap pengalaman hidup dalam lagu nyanyian dan ciptaannya. - Foto Yonny Boi
Yonny Boi singkap pengalaman hidup dalam lagu nyanyian dan ciptaannya. - Foto Yonny Boi

Curahan hati dalam lagu

KUALA LUMPUR: Komposer dan penyanyi muda, Yonny Boi, 22, gemar menyingkap pengalaman hidup dalam lagu nyanyian serta ciptaannya.

Terbaharu, Yonny muncul dengan single terbaharu berjudul Salahku. Lagu yang meluahkan isi hati dan perasaannya itu disiapkan pada Jun, tahun lalu.

Single Salahku berentak R&B dilancarkan semalam. Ia boleh diperoleh di semua platform digital.

Yonny atau nama sebenarnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata, dia selesa meluahkan perasaan menerusi lagu ciptaannya.

“Lagu Salahku boleh dianggap menyingkap kisah kehidupan peribadi. Pengalaman lalu mematangkan saya.

“Saya tak punya ramai kawan di sekolah. Saya suka menyendiri, memendam rasa dan cepat marah. Sebab itulah, banyak lirik lagu yang dihasilkan pengalaman saya membesar.

“Ada yang menganggap lirik yang ditulis terlalu mendalam. Mereka suka dengar sesuatu yang bukan direka. Setiap lirik pasti ada kisah yang ingin disampaikan,” katanya kepada BH Online.

Mengulas lagu Salahku, Yonny berkata, ia terjemahan pada manusia yang tidak pernah sempurna.

“Ini isi hati saya. Saya selesa menunjuk perasaan dalam lagu sejak berusia 16 tahun. Saya merasakan banyak kekurangan dalam diri.

“Ada kala orang tidak faham apa yang saya lalui dalam hidup. Jadi, saya dapat melempiaskan perasaan dalam lagu.

“Saya akui, ada masanya kita merasakan tindakan dibuat betul. Hakikatnya, kesilapan pada mata orang lain. Di sini, berlaku kekeliruan pada diri,” katanya.

Katanya, senario yang sama mungkin dilalui orang lain. Pada masa berasakan diri sudah cukup bagus, ada pula yang melihat sebaliknya.

“Akhirnya, ia menjadi pengajaran berharga dalam hidup. Dengan kekurangan yang ada, saya tukar menjadi kekuatan. Hari demi hari saya lebih matang dalam banyak aspek,” katanya.

Selain berbakat dalam dunia muzik, Yonny belajar dalam dunia perisian dan grafik.

“Mungkin sudah tertulis rezeki saya dalam dunia seni. Insya-Allah, saya akan manfaatkannya sebaik mungkin.

“Cuma, saya tak tahu gelaran tepat untuk diri saya. Saya tak anggap diri rapper, komposer, penyanyi hip hop atau terbatas dengan genre tertentu.

“Saya gemar melakukan eksperimen. Saya mahu bebas berkongsi bakat yang ada. Cukup memadai, kelaskan saya sebagai penggubah lagu,” katanya yang pernah meledak menerusi lagu Sakit berkolaborasi dengan Zynakal, tahun lalu.

Berita Harian X