Jumaat, 3 April 2020 | 5:20pm
Ali mengesahkan sudah mendapat laporan ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif. Foto IG XPDC
Ali mengesahkan sudah mendapat laporan ujian saringan COVID-19 dengan keputusan negatif. Foto IG XPDC

COVID-19 : Ujian saringan Ali XPDC negatif

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan XPDC, Ali menjelaskan dia mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, baru-baru ini disebabkan cedera disambar api, bukannya positif COVID-19.

Didakwa menghadiri Himpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling, Februari lalu mencetus kluster dalam penularan COVID-19, Ali yang diketahui ramai aktif dalam kegiatan dakwah, mahu spekulasi konon dihidapi virus berkenaan, dihentikan.

Tampil memberi penjelasan, Ali berkata, dia dimasukkan ke hospital berkenaan selama sehari selepas mengalami kemalangan kecil di rumah, iaitu disambar api ketika membakar sampah.

“Saya dimasukkan ke hospital kerana disambar api ketika membakar sampah di rumah, Khamis lalu.

“Disebabkan itu, tangan kanan, muka dan pergelangan kaki saya terbakar. Doktor mengesahkan kecederaan atau kebakaran pada anggota yang dialami adalah pada tahap kedua, bukan disebabkan positif COVID-19,” katanya kepada BH Online.

Dengan status dirinya yang aktif menyertai tabligh, gosip konon dirinya dirawat akibat dijangkiti virus berkenaan hangat diperkatakan.

Ali berkata, dia tidak menghadiri Himpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Seri Petaling seperti yang didakwa.

“Saya mengaku jemaah tabligh tetapi saya tidak pergi ke perhimpunan itu. Ketika majlis dianjurkan, saya mengerjakan ibadat Umrah.

“Benar, selepas pulang dari Umrah, ada kawan-kawan dari jemaah tabligh datang ke rumah. Tiga hari kemudian, saya jalani ujian saringan.

“Alhamdulillah, keputusan negatif, tiada apa yang hendak dirisaukan. Hendak jadi cerita, ketika saya dimasukkan hospital, ada peserta jemaah tabligh diminta menjalani ujian saringan.

“Orang yang tidak tahu tahu hal sebenar, membuat sangkaan. Saya harap perkara ini jelas selepas perkongsian saya ini,” katanya yang berharap isu itu tidak diperbesarkan lagi.

Berita Harian X