Ahad, 5 April 2020 | 9:39pm
Foto dimuat naik Rossa mengejutkan peminat yang menyangka dia sudah bernikah. Foto IG Rossa
Foto dimuat naik Rossa mengejutkan peminat yang menyangka dia sudah bernikah. Foto IG Rossa

Kecoh Rossa kahwin

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia, Datuk Seri Rossa mengejutkan peminat apabila memuat naik foto memaparkan dirinya menggayakan busana tradisional pengantin Jawa bersama seorang jejaka di Instagram (IG).

Penyanyi berusia 41 tahun itu melayangkan kapsyen yang antara lain memohon maaf kerana tidak dapat mengundang teman-teman ke majlis pernikahannya berikutan arahan kuarantin.

“Terima kasih atas doa dan saya sangat menghargainya... Doakan kita bahagia ya,” katanya dalam entri berkenaan.

Tidak hairanlah, perkongsian itu menarik perhatian netizen termasuk rakan selebriti. Rata-rata mereka mengucapkan tahniah kepada penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta itu yang disangka sudah bergelar isteri.

Ketika dihubungi BH Online, Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani bagaimanapun menafikan dia sudah bernikah seperti yang tercatat dalam kapsyen entri berkenaan.

Rossa berkata, dia sekadar mengusik pengikut laman sosialnya. Jejaka yang dipaparkan adalah aktor popular Korea Selatan, Kim Sooh Hyun.

“Itu bukan foto asli, ia hasil suntingan teman saya... Tolong jangan percaya,” katanya.

Antara selebriti yang terpedaya dengan gurauan Rossa adalah pelakon yang terkenal dengan watak Cinta dalam filem Ada Apa Dengan Cinta, Dia Sastrowardoyo.

Berita Harian X