Selasa, 7 April 2020 | 10:57pm
Pengarah, Rahila Ali dan semua tenaga kerja menjalani ujian saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta, semalam. - Foto Instagram Rahila Ali
Pengarah, Rahila Ali dan semua tenaga kerja menjalani ujian saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta, semalam. - Foto Instagram Rahila Ali

Enam tenaga kerja produksi positif COVID-19

KUALA LUMPUR: Enam tenaga kerja pasukan produksi drama Demi yang menjalani penggambaran di Inverness, Scotland, bulan lalu, disahkan positif COVID-19.

Pengarah drama, Rahila Ali mengesahkan, dirinya bersama pelakon, Puteri Aishah dan empat anggota produksi lain mendapat keputusan positif COVID-19, selepas menjalani ujian saringan di sebuah hospital swasta, semalam.

“Ya, kami disahkan positif COVID-19. Saya menerima keputusan ujian semalam, manakala beberapa kru lain termasuk Puteri Aishah terima hari ini.

“Kami tidak mengalami simptom seperti demam, sakit tekak atau sesak nafas. Bagaimanapun, kami tidak bernasib baik apabila dijangkiti virus berbahaya itu.

“Saya bersama pelakon dan kru mematuhi arahan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, sejak tiba di Kuala Lumpur pada 31 Mac lalu. Kami tidak bertemu sesiapa termasuk keluarga apabila ditempatkan di kediaman lain yang disediakan produser,” katanya kepada BH Online.

Rahila berkata, buat masa ini, dia, pelakon dan kru masih menunggu keputusan laporan penuh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya diberitahu wad hospital penuh, jadi masih menunggu panggilan KKM untuk membawa kami ke hospital.

“Sekarang, kami masih berada di rumah. Kami akan menjalani ujian saringan kedua sebaik dibawa ke hospital,” katanya.

Pengarah filem Aku Ada Kau Ada itu berkata, terlalu banyak cerita yang salah digembar-gemburkan hingga mendatangkan tekanan buat mereka.

“Saya mengharapkan doa baik-baik. Doakan kami kuat menempuh ujian ini,” katanya.

Kumpulan produksi drama Demi berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, sebelum kes penularan COVID-19 ketara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) belum dikuat kuasa.

Seramai 18 tenaga kerja termasuk pengarah, pelakon dan kru yang menjalani penggambaran drama 26 episod siaran RTM itu tiba di Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Drama Demi, diadaptasi daripada novel dibintangi Ashraf Muslim, Puteri Aishah, Ben Amir, Hasnul Rahmat dan Puteri Rayyana Rayqa. Bagaimanapun, Ben pulang beberapa hari lebih awal daripada kumpulan produksi terbabit.

Berita Harian X