Khamis, 9 April 2020 | 7:23pm
Keluarga, kenalan dan peminat memberi penghormatan terakhir kepada Glenn yang dikebumikan di TPU Tanah Kusir, Jakarta Selatan, petang tadi. Foto IG Glenn Fredly
Keluarga, kenalan dan peminat memberi penghormatan terakhir kepada Glenn yang dikebumikan di TPU Tanah Kusir, Jakarta Selatan, petang tadi. Foto IG Glenn Fredly

Glenn Fredly selamat disemadi

JAKARTA: Penyanyi Glenn Fredly selamat dikebumikan di Tempat Pemakaman Umum (TPU) Tanah Kusir, Jakarta Selatan, pada jam 3 petang waktu tempatan ( jam 4 petang waktu Malaysia), tadi.

Biarpun keluarga penyanyi Januari itu meminta peminat berdoa dari jauh berikutan penularan COVID-19, namun, masih ada yang tidak mahu melepaskan peluang mengiringi jenazah ke pusara, lapor agensi.

Dilaporkan, balu mendiang, Mutia Ayu yang mengenakan persalinan putih, tampak tabah dengan wajah sembab pada acara pengebumian itu.

Selepas keranda putih yang memuatkan jenazah penyanyi berusia 44 tahun selamat dikebumikan, Mutia dilihat menaburkan bunga ke pusara suami.

Sebaik merakamkan foto bersama keluarga, Mutia dilihat mendekati pusara Glenn sambil menundukkan tubuh dan memejamkan mata.

Proses pengebumian mendiang berjalan lancar. Sebelum pulang, Mutia sempat mengucapkan terima kasih kepada tetamu dan meminta semua mendoakan suaminya.

Glenn Fredly dan Mutia Ayu berkahwin tahun lalu. Mereka dikurniakan anak perempuan diberi nama, Gewa Atlana Syamayim Latuihamallo yang baru berusia 40 hari.

Semalam, dunia hiburan dikejutkan apabila Glenn atau nama penuhnya, Glenn Fredly Deviano Latuihamallo, meninggal dunia di Rumah Sakit Setia Mitra, Cilandak, Jakarta Selatan, akibat meningitis. - AGENSI

Berita Harian X