Ahad, 12 April 2020 | 2:44pm
Syira dan anaknya, Rayqa sedang dirawat di HSB selepas disahkan positif COVID-19. Foto Ihsan Syira
Syira dan anaknya, Rayqa sedang dirawat di HSB selepas disahkan positif COVID-19. Foto Ihsan Syira

COVID-19 : 'Tak boleh bayang anak sakit sendirian'

KUALA LUMPUR: “Gelap seketika masa depan apabila dimaklumkan kami dua beranak positif COVID-19.”

Demikian luahan Syira, iaitu ibu pelakon kanak-kanak, Puteri Rayyana Rayqa, 6, berhubung keadaan mereka selepas disahkan dijangkiti virus berkenaan.

Rayqa adalah antara tenaga produksi drama rantaian Demi yang menjalani  penggambaran drama Demi di Inverness, Scotland, bulan lalu.

Bercerita mengenai situasi mereka selepas tiga hari dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB), Syira memberitahu, setakat ini, mereka stabil.

“Kami ditempatkan dalam bilik sama. Setakat ini, kami tidak menunjukkan gejala. Cuma batuk biasa sahaja... Rayqa pun sama.

“Buat masa ini, doktor tidak memberi ubat. Kami hanya menjalani pemeriksaan darah.

“Ini keadaan kami sekarang, tidak tahulah pada masa akan datang. Jujurnya, saya memang takut apabila mendapat tahu kami positif COVID-19 terutama mengenangkan Rayqa yang masih kecil.

“Apabila terbayang keadaan pesakit COVID-19 seperti yang dilihat di media sosial, saya jadi takut. Tapi selepas mendapat rawatan di hospital, barulah saya rasa lega. Mungkin sebab ada doktor yang merawat dan keadaan kami yang tidak begitu serius,” katanya kepada BH Online.

Sebagai ibu, dia bersyukur dapat bersama anak dalam keadaan yang cukup getir ini.

“Tidak dapat hendak dibayangkan kalau Rayqa sahaja yang dijangkiti. Apabila saya juga positif, sekurang-kurangnya dapat menjaga dirinya.

“Kalau ditakdirkan dia seorang sahaja disahkan positif, saya akan meminta keizinan untuk menjaganya.

“Nampaknya, keadaan Rayqa okay. Cuma dia nampak penat sedikit, tetapi tidak merengek,” katanya.

Menyifatkan apa yang berlaku sebagai takdir, Syira enggan menyalahkan sesiapa berhubung musibah yang melanda mereka.

“Saya terima apa yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi. Ketika menjalani penggambaran di luar negara, kami sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga. Kami sentiasa membersihkan diri dengan cecair pembasmi kuman dan mengambil vitamin.

“Tak tahulah daripada mana kami dapat virus ini. Perkara ini sudah jadi, kita tak boleh hendak buat apa-apa. Saya lihat apa yang berlaku ini sebagai ada hikmah di sebaliknya.

“Kita jadikan sebagai satu iktibar iaitu jangan ambil mudah mengenai wabak ini. Mungkin selama ini, kita anggap COVID-19 adalah wabak biasa dan tak mengambil berat. Jadi, selepas ini, kita kena lebih peka,” katanya.

Syira berharap masyarakat tidak memandang negatif terhadap pesakit COVID-19 kerana ia menambahkan lagi tekanan emosi.

“Janganlah pandang skeptikal terhadap kami. Bukan kami minta perkara ini berlaku. Apa yang kami harapkan adalah sokongan semua pihak.

“Mujur keluarga dan kawan-kawan banyak memberi sokongan dan kata-kata positif... Kami sangat menghargainya,” katanya.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, pelakon utama drama Demi, Puteri Aishah disahkan positif. Turut dijangkiti adalah lima individu lain iaitu pengarah, Rahila ali; penolong pengarah; jurukamera serta kakitangan bahagian pakaian dan solekan.

Rombongan seramai 18 orang termasuk pelakon berlepas ke Scotland pada 9 Mac lalu, iaitu sebelum peningkatan kes COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Selain Puteri Aishah dan Rayqa, pelakon lain yang terbabit dalam drama terbitan Elisa Vision Sdn Bhd itu adalah Ben Amir dan Hasnul Rahmat.

Berita Harian X