Isnin, 13 April 2020 | 3:55pm
Ziela berharap penerbit tidak mementingkan diri sebaliknya akur dengan arahan kerajaan untuk menghentikan sementara kerja penggambaran. - Foto IG Ziela Jalil
Ziela berharap penerbit tidak mementingkan diri sebaliknya akur dengan arahan kerajaan untuk menghentikan sementara kerja penggambaran. - Foto IG Ziela Jalil

COVID-19: 'Fikirlah orang lain ada anak, isteri'

KUALA LUMPUR: Penerbit Pena Creative Pictures, Datuk Ziela Jalil tidak bersetuju dengan permintaan segelintir penerbit yang mahu kerajaan membenarkan syarikat produksi menyambung semula penggambaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ziela mempersoalkan bagaimana penerbit yakin virus COVID-19 tidak akan tersebar walaupun berjanji mematuhi syarat penjarakan sosial atau menjalani penggambaran di kawasan terpencil.

Sedangkan, tambah Ziela, anggaran antara 20 hingga 25 tenaga kerja terbabit dalam setiap penggambaran. Ini secara tidak langsung melanggar arahan kerajaan menghalang orang awam daripada berkumpul.

“Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kita seharusnya menghormati keputusan kerajaan. Tentunya kerajaan lebih tahu apa yang terbaik.

“Jika sebut soal tekanan akibat PKP, kita perlu memikirkan orang berniaga kecil-kecilan dan pekerja yang makan gaji hari. Mereka lebih terkesan dalam keadaan ini.

“Sekalipun mematuhi langkah keselamatan seperti menjaga jarak sosial, memakai sanitasi dan menjaga tahap keselamatan, tetapi apa jaminan boleh selamat?” katanya kepada BH Online.

Sabtu lalu, BH Online melaporkan, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) akan memboikot penerbit yang meneruskan penggambaran tanpa kebenaran Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jika ingkar, nama pengarah yang juga ahli FDAM disenarai hitam. Selain itu, FDAM akan menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menarik balik lesen penerbitan dan tidak akan meluluskan sokongan ke atas Sijil Perakuan Penggambaran FINAS.

Presidennya, Ahmad Ibrahim dilaporkan kesal dengan kenyataan beberapa penerbit meminta kerajaan memberikan kelonggaran dengan membenarkan syarikat produksi meneruskan penggambaran dengan bersyarat, dalam tempoh PKP yang dilanjutkan hingga 28 April ini.

Ziela berkata, penerbit tidak boleh mementingkan diri dalam keadaan negara sedang berusaha mengawal penularan COVID-19.

“Janganlah pentingkan diri. Kerajaan sedang berusaha memutuskan rantaian COVID-19 tetapi kenapa kita sanggup ambil risiko?

“Fikirkanlah yang kru produksi dan pelakon ada keluarga, anak dan isteri. Apa akan terjadi kepada keluarga, sekiranya mereka dijangkiti?” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X