X
Isnin, 20 April 2020 | 1:12pm
Julia Ziegler bersyukur dikurniakan rezeki penambahan anak pada usia 36 tahun. - Foto Instagram Julia Ziegler
Julia Ziegler bersyukur dikurniakan rezeki penambahan anak pada usia 36 tahun. - Foto Instagram Julia Ziegler

Julia Ziegler rahsia hamil tujuh bulan

KUALA LUMPUR: Sekian lama merahsiakan kehamilan akhirnya pelakon, Julia Ziegler, 36, mendedahkan bakal melahirkan cahaya mata lelaki, penghujung Jun depan.

Julia berkongsi imbasan kandungan menerusi entri Instagramnya, baru-baru ini. Dia memaklumkan hamil anak kedua dan kandungannya memasuki tujuh bulan. Anak sulung, Ivana Johan baru berusia setahun tiga bulan.

Pelakon kacukan Melayu, Inggeris itu berkata, dia tidak mampu menolak rezeki yang dikurniakan, biarpun belum puas membesarkan Ivana.

“Sebenarnya, saya mendapat mengandung, Oktober tahun lalu. Jujurnya, saya dan suami tak menyangka rezeki cahaya mata kedua hadir dengan cepat.

“Jadi, saya buat keputusan simpan cerita hamil dahulu. Dalam masa yang sama, saya tak puas bersama Ivana. Namun, Allah kurniakan rezeki, kami terima dengan berlapang dada.

“Akhirnya, saya berkongsi berita kehamilan anak kedua di IG, beberapa hari lalu. Saya hamil anak lelaki,” katanya kepada BH Online.

Pelakon yang mencipta populariti menerusi filem Jangan Tegur itu bersyukur kerana proses menambah cahaya mata dipermudahkan.

“Setiap pasangan suami isteri pasti mahukan zuriat. Ada datang cepat dan sebaliknya.

“Alhamdulillah, saya dan suami dipermudahkan memiliki cahaya mata, lebih lagi saya bukannya muda lagi.

“Syukur, kami masih ada rezeki menimang anak kedua,” katanya.

Julia atau nama sebenarnya, Julia Bob Fauzi Ziegler berkata, dia menempuh kepenatan berganda dalam fasa kehamilan anak kedua.

“Mana nak jaga Ivana, jaga diri sendiri. Bagaimanapun, insya-Allah, saya kuat.

“Saya masih boleh bertahan biarpun terpaksa berkurung dalam rumah bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan jurutera mekanikal dikenali sebagai Johan pada 1 Januari 2017.

Berita Harian X