Isnin, 20 April 2020 | 2:10pm
Hasil sentuhan Elly yang menjadi bidan terjun menggunting rambut suaminya, baru-baru ini. Foto IG Elly Mazlein
Hasil sentuhan Elly yang menjadi bidan terjun menggunting rambut suaminya, baru-baru ini. Foto IG Elly Mazlein

Elly gunting rambut suami

KUALA LUMPUR: Aksi bidan terjun Elly Mazlein menjadi tukang gunting rambut suami berikutan penutupan salun atau barber sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mencuri perhatian netizen.

Elly mengaku biarpun gementar kali pertama melakukan tugas itu, dia teruja melihat hasil yang tidak mengecewakan.

“Saya tiada pengalaman menggunting rambut. Bagaimanapun, selepas melihat rambut suami agak tidak terurus dan kedai gunting pun tutup, saya tawarkan diri menggunting rambutnya.

“Tidak dinafikan, masa mula-mula hendak gunting, rasa takut. Bimbang pula rambut suami rosak.

“Tetapi selepas melihat hasilnya, biarpun potongan tidak rapi macam tukang gunting profesional, nampaklah kemas dan gaya asalnya,” katanya kepada BH Online.

Ditanya apa komen si dia selepas melihat hasil, penyanyi yang popular dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini berkata, suami, Mohamad Azlan Che Nuh, reda dengan gaya rambut barunya itu.

“Ketika saya suarakan hasrat hendak menggunting rambutnya, dia tidak cakap apa-apa dan serah diri sahaja.

“Selepas gunting, dia senyum dan ucap terima kasih. Saya tahu dia reda biar apapun hasilnya,” katanya.

Entri memaparkan Elly menjadi tukang gunting rambut suaminya itu dikongsi selebriti berusia 39 tahun ini di Instagram (IG), baru-baru ini. Ramai pengikut penyanyi, pelakon dan pengacara ini memuji tindakannya itu.

Sementara itu, mengulas desas-desus dirinya berbadan dua kerana tampak berselera menikmati makanan persis wanita mengidam yang dilihat dalam video dimuat naik, pelakon drama Kampung People ini menafikannya.

“Setakat ini, belum lagi. Siapa yang tak mahu anak? Kami mahu beri adik kepada Putri Sara Sefhia. Cuma belum ada rezeki lagi.

“Insya-Allah doakan sahaja kami segera dikurniakan cahaya mata,” katanya yang aktif di YouTube, Dunia Elly Mazlein sepanjang PKP.

Elly dan Azlan yang juga bertugas sebagai guru, bernikah pada 17 Januari lalu selepas lebih setahun berkenalan.

Berita Harian X