X
Ahad, 26 April 2020 | 3:00pm
Bella Astillah mengharapkan pengertian dan tidak mahu mengulas lanjut isu kembali menjadi isteri Aliff Aziz. - Foto Bella Astillah
Bella Astillah mengharapkan pengertian dan tidak mahu mengulas lanjut isu kembali menjadi isteri Aliff Aziz. - Foto Bella Astillah

Bella hamil, kembali rujuk dengan Aliff

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 26, mengesahkan kini hamil dan kembali rujuk dengan suaminya, Aliff Aziz, 29, ketika dalam tempoh edah, tahun lalu.

Bella membuat pengakuan ketika menjawab pertanyaan pengikut yang melihat perubahan wajah dan mempersoalkannya berbadan dua dalam laman sosial, Instagram (IG), baru-baru ini.

"Ya, saya..." demikian jawapan Bella kepada pengikutnya mengenai dakwaan hamil.

Mengulas pertanyaan peminat adakah kembali bersama Aliff, Bella menjawab, "Alhamdulillah, masa dalam edah lagi, jadi tak perlu kahwin semula. Doakan ya.

"Kenangan pahit, tetapi menjadi pengajaran hebat buat semua. Terima kasih atas doa."

Menerusi komen dalam IG, ibu kepada Ayden Adrean itu memberikan reaksi positif kepada pengikutnya.

Bagaimanapun, apabila diminta mengulas isu hamil dan kembali bergelar isteri, Bella mengharapkan pengertian semua dan tidak mahu mengulas lanjut.

Baginya, apa yang penting adalah kebahagiaan dirinya dan keluarga.

"Buat masa ini, saya rasa tidak sesuai berkongsi kisah peribadi. Cukup jawapan ringkas saya.

"Negara sedang diuji dengan penularan wabak COVID-19, itu yang lebih merisaukan. Lagi pun, inikan bulan puasa.

"Saya bimbang sekiranya berkongsi cerita peribadi terlalu mendalam dituduh mahu meraih perhatian. Ada kala, beritahu salah, tak kongsi juga sama," katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Tenang itu berkata, isu peribadinya dengan Aliff bukan hanya membabitkan mereka berdua, tetapi keluarga juga.

"Saya kena menghormati permintaan keluarga. Doakan baik-baik," katanya.

Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah menerusi ciapan di laman Twitter dilihat cuba memberi semangat kepada Alif yang banyak melakukan khilaf, selama ini.

"Semoga bulan baik dapat memperbaiki diri untuk menjadi lebih baik.

"Tiada manusia yang tak pernah membuat kesilapan atau dosa. Walaupun berkali-kali melakukan kesilapan, siapa kita untuk menjatuhkan hukum.

"Terpulang kepada sesiapapun jika bersedia memaafkan berjuta kali atas kesilapan seseorang," kongsinya.

Bella dan Aliff bernikah pada 9 September 2016 dan dikurniakan anak lelaki yang kini berusia tiga tahun.

Hubungan rumah tangga Bella dan Aliff beberapa kali diuji dengan isu kecurangan hingga kemuncaknya berakhir dengan perceraian pada 16 Mei tahun lalu.

Berita Harian X