Isnin, 27 April 2020 | 6:11pm
Biarpun jadual lakonan padat, Keith Foo tetap memperuntukkan masa untuk kerja sukarelawan. - Foto Instagram Keith Foo
Biarpun jadual lakonan padat, Keith Foo tetap memperuntukkan masa untuk kerja sukarelawan. - Foto Instagram Keith Foo

Berjauhan dengan anak demi tugas sukarelawan

KUALA LUMPUR: Tidak berniat menunjuk-nunjuk, sebaliknya pelakon yang mencetuskan fenomena menerusi drama Ariana Rose, Keith Foo menyertai pasukan St John Ambulance Malaysia (SJAM) sebagai misi berkhidmat untuk masyarakat.

Lebih dua tahun berkhidmat sebagai sukarela SJAM, Keith berkata, dia ingin mencurahkan bakti dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memandangkan banyak masa terluang.

"Daripada tiada sebarang aktiviti di rumah, lebih baik saya berbakti kepada masyarakat, walaupun terpaksa berjauhan dengan anak kesayangan, Skylar Raymond Foo yang kini berusia tiga tahun.

"Saya menyertai SJAM cawangan Seremban dan fokus kepada kawasan Negeri Sembilan sahaja. Bagaimanapun, kami dipanggil menyertai pasukan di ibu pejabat yang terletak di Cheras bagi menjalankan tugas sekitar Lembah Klang.

"Sebelum ini, kami hanya menyediakan khidmat ambulans apabila diperlukan ke Hospital Tuanku Ja'afar atau menganjurkan kempen derma darah," katanya kepada BH Online.

Keith atau nama sebenarnya, Foo Chuan Chin berkata, pasukannya ditugaskan menghantar pakaian perlindungan diri (PPE), alat sanitasi dan topeng muka kepada hospital dan klinik sekitar Kuala Lumpur ketika tempoh PKP.

Bagaimanapun, katanya, dalam masa yang sama, kempen derma darah masih diteruskan.

"Saya sentiasa berada dalam siap sedia apabila khidmat diperlukan. Saya akan bertugas dua atau tiga hari bergantung kepada keperluan, setiap minggu.

"Saya seronok melakukan kerja khidmat masyarakat daripada duduk di rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti yang berfaedah," katanya.

Pelakon berusia 37 tahun itu berkata, dia aktif bersama SJAM sebelum wabak COVID-19 menular.

"Biarpun jadual lakonan yang bersusun, saya tetap akan memperuntukkan sedikit masa untuk kerja kebajikan.

"Sebelum ini, saya sering terfikir, apa yang boleh dilakukan untuk membantu masyarakat. Saya tercari-cari platform betul supaya dapat mencurahkan bakti. Jadi, saya pilih bersama SJAM.

"Bagi saya, ia satu kepuasan apabila dapat melakukan kerja sukarela seperti ini. Saya tidak mengharapkan pengiktirafan kejar glamor. Saya ikhlas melakukannya, sekurang-kurangnya ada sesuatu yang berfaedah dapat dicurahkan kepada negara dan masyarakat," katanya.

Sejak PKP dilaksanakan, Keith berkata, banyak projek lakonannya yang tergendala. Salah satunya, penggambaran drama 26 episod berjudul Dia Bukan Bidadari untuk siaran RTM.

Bagaimanapun, Keith akur dan berharap virus COVID-19 akan segera berakhir.

Anak kelahiran Gemas, Negeri Sembilan itu berkata, dia masih menjalani penggambaran drama sekitar Hulu Langat, beberapa hari sebelum tempoh PKP dilaksanakan.

"Saya menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu bagi memastikan keselamatan ahli keluarga.

"Sejujurnya, saya tidak tahu lokasi penggambaran di Hulu Langat antara dalam zon merah kerana belum kecoh lagi.

"Sebagai langkah keselamatan, kami mengambil inisiatif menjalani tempoh kuarantin sendiri. Walaupun sedih tidak dapat bertemu anak dalam tempoh PKP, tetapi keselamatan lebih utama," kata pelakon yang terlebih dahulu melebarkan sayap lakonan di negara jiran, Indonesia.

Berita Harian X