Rabu, 29 April 2020 | 8:17pm
Ali memuat naik entri meluahkan kerinduan terhadap arwah Abam apatah lagi dengan tibanya Ramadan. Foto IG Ali Puteh
Ali memuat naik entri meluahkan kerinduan terhadap arwah Abam apatah lagi dengan tibanya Ramadan. Foto IG Ali Puteh

Setiap kali berbuka puasa, emak mesti termenung - Ali Puteh

KUALA LUMPUR: "Setiap kali hendak berbuka puasa, emak mesti termenung."

Demikian luahan Ali Puteh, adik kepada Allahyarham Abam Bochey, apabila bercerita mengenai keadaan ibu, Sabariah Arshad, selepas lebih dua bulan pelawak itu pergi menghadap Ilahi.

Ali tahu ibunya teringatkan Abam kerana setiap kali hendak berbuka puasa, dia pasti termenung.

"Bukan emak sahaja, kami sekeluarga rindu kehadiran arwah terutama pada bulan Ramadan," katanya kepada BH Online.

Bagaikan wayang berputar, Ali atau nama sebenar, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Rizuan, 31 memberitahu, setiap momen manis yang pernah dilalui bersama Abam pada Ramadan, terbayang satu persatu.

"Setiap kali Ramadan tiba, kami adik-beradik berkumpul di rumah arwah untuk berbuka. Kebetulan emak tinggal bersama abang. Apabila berkumpul, memang terasa kemeriahannya.

"Namun, semua tinggal kenangan. Tahun ini, memang terasa janggal kerana kurang seorang dalam anggota keluarga kami. Apabila tiba waktu berbuka puasa, bagaikan terbayang arwah ada bersama.

"Melihat emak yang sentiasa termenung, lagilah sedih. Apa yang boleh saya katakan kepada emak hanyalah meminta dia mendoakan kesejahteraan arwah dan reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Mengulas keadaan kesihatan Sabariah, anggota kumpulan Puteh ini berkata, sejak Allahyarham pergi, kesihatan ibu semakin merosot.

"Sebelum ini, emak ada masalah kaki sehingga terpaksa dibedah. Sekarang, penyakit lamanya datang kembali. Kaki menjadi bengkak sehingga terpaksa duduk di kerusi roda setiap masa.

"Penglihatan emak juga semakin kabur akibat kerosakan kornea. Mungkin ini berpunca apabila dia kerap menangis selepas pemergian arwah.

"Sebelum ini, arwah kerap membawanya ke hospital untuk rawatan mata. Insya-Allah selepas arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, saya akan membawa emak berjumpa doktor," katanya.

Pada 10 Februari lalu, Abam atau nama penuhnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, meninggal dunia di kediamannya di Gombak, kira-kira jam 7 pagi dipercayai akibat demam panas.

Berita Harian X