Jumaat, 8 Mei 2020 | 1:00pm
Elyana bersyukur masih mampu berpuasa apatah lagi anaknya, Cinta yang berusia sembilan tahun, tekun melakukan ibadat itu. Foto IG Elyana
Elyana bersyukur masih mampu berpuasa apatah lagi anaknya, Cinta yang berusia sembilan tahun, tekun melakukan ibadat itu. Foto IG Elyana

'Saya hanya mahu seronok setiap saat'

KUALA LUMPUR: Masih bertarung melawan kanser limfoma yang dihidapi sejak kira-kira lapan tahun lalu, pelakon dan penyanyi, Elyana terus positif menjalani rutin harian sebagai ibu dan isteri kepada keluarga tersayang.

Berkongsi perkembangan kesihatan, Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 32, bersyukur dapat menjalani kehidupan seperti biasa.

"Saya masih pesakit kanser tahap empat di mana sel kanser masih wujud dalam badan. Cuma, sekarang, sakit saya tidak seteruk seperti awal-awal dahulu.

"Alhamdulillah, tahap kesihatan saya sekarang biasa sahaja. Kadang-kadang saya sakit, ada kalanya tidak.

"Ada juga masanya saya penat, seperti mahu ke tandas pun saya letih. Bagaimanapun, semuanya baik-baik sahaja sekarang," katanya kepada BH Online.

Elyana mengaku sudah lebih setahun dia tidak berjumpa doktor atau pergi membuat pemeriksaan di hospital.

"Kali terakhir saya ke hospital adalah awal tahun lalu untuk menjalani rawatan radioterapi selepas sel kanser menyerang tulang belakang.

"Keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

"Sejak itu, saya belum lagi ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Elyana menambah, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang kritikal, lebih baik ruang diberi kepada pesakit lain.

"Saya fikir lebih elok untuk saya beri laluan kepada orang yang lebih memerlukan.

"Lagipun, sekarang, saya dalam keadaan baik-baik sahaja. Saya mahu menghargai saat-saat ini dengan rasa seronok," katanya.

Kongsi Elyana, tahap kesihatannya itu mungkin kesan daripada amalan pemakanannya.

"Saya fikir apa yang membuatkan saya bertahan adalah pengambilan makanan semula jadi.

"Saya kurangkan pengambilan ubat, sebaliknya, amalkan pemakanan sihat," katanya.

Dalam pada itu, Elyana masih aktif menerima tawaran lakonan dan nyanyian.

Sebelum PKP, Elyana sempat menyudahkan penggambaran drama Misi Dania Cun 2 dan mengaku tidak sabar untuk kembali aktif.

"Tidak sabar menunggu pandemik COVID-19 berakhir. Saya mahu kembali bekerja. Antara sebabnya, saya bosan terkurung di rumah selain mahu menjana pendapatan.

"Saya seronok bekerja. Ketika penggambaran drama Misi Dania Cun 2 di Kedah dan Perlis, saya tidak rasa bekerja pun," katanya.

Elyana berkata, jika difikirkan soal penat, memang meletihkan kerana mengembara ke destinasi jauh.

"Penat itu terasa sampai sekarang. Tetapi saya seronok dapat melakukan sesuatu yang saya suka," katanya.

Bagi mengisi masa senggang di rumah, Elyana memasak beberapa hidangan kegemaran ramai untuk dijual.

"Apabila saya memasak, saya muat naik di Instagram (IG) Story. Dari situ, ada permintaan agar saya menjual juadah itu.

"Jadi, saya fikir mengapa tidak. Saya memasak dan menjual pun untuk pelanggan berdekatan sahaja.

"Antara sajian yang saya masak adalah nasi lemak, daging masak hitam dan daging berlada," katanya yang seronok melihat pelanggan berbuka puasa dengan masakannya.

Bertanya mengenai ibadat puasa, Elyana bersyukur masih mampu menunaikannya.

"Alhamdulillah, saya masih larat berpuasa memandangkan saya juga tidak perlu memakan ubat mengikut masa tertentu.

"Anak saya, Cinta Sumayyah yang berusia sembilan tahun pun berpuasa penuh. Jadi, malulah kalau saya tidak berpuasa.

"Kebetulan, sebelum saya mengambil anak angkat tahun lalu, saya mengupah pembantu rumah. Jadi tidaklah memenatkan untuk mengasuh anak angkat," katanya.

Tahun lalu, Elyana mengambil Cahaya Ramadhani sebagai anak angkat. Pada 17 Mei ini, Cahaya genap setahun.

Berita Harian X