Ahad, 10 Mei 2020 | 5:02pm
Khoo (kanan) berharap rayuan agar kerajaan membenarkan syarikat produksi iklan beroperasi semula sepanjang PKPB, dipertimbangkan. Foto Ihsan PPFIM
Khoo (kanan) berharap rayuan agar kerajaan membenarkan syarikat produksi iklan beroperasi semula sepanjang PKPB, dipertimbangkan. Foto Ihsan PPFIM

PPFIM rayu benarkan penggambaran iklan

KUALA LUMPUR: Persatuan Penerbit Filem Iklan Malaysia (PPFIM) merayu kerajaan memberi kelonggaran kepada syarikat produksi iklan untuk beroperasi semula, Rabu ini.

Presidennya, Khoo Kay Lye berkata, kru produksi iklan yang rata-rata bergaji harian, hilang mata pencarian sejak lebih 50 hari lalu.

Menurutnya, surat rayuan bagi sektor industri pengiklanan dan perfileman, dikemukakan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada 4 Mei lalu.

"Kami memohon pertimbangan untuk membenarkan penggambaran iklan seperti biasa, tetapi terikat dengan prosedur operasi standard (OSP) yang ketat seperti yang disarankan kerajaan.

"Dalam industri pengiklanan dan perfileman, kami mempunyai hubungan yang rapat dan saling bergantung antara satu sama lain. Kebanyakan kru penggambaran tidak ada pendapatan tetap dan bergantung sepenuhnya kepada penghasilan karya baharu dalam menjana pendapatan harian.

"Jadi sebagai 'freelancer', kebanyakan kru penggambaran tidak dapat menjana pendapatan apabila tiada produksi yang menerbitkan iklan ataupun filem. Apatah lagi, Aidilfitri bakal tiba, tidak lama lagi," katanya kepada BH Online.

Khoo memohon kerajaan membenarkan kru produksi iklan meneruskan operasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"PPFIM sudah merangka SOP yang akan dipraktikkan setiap syarikat produksi sepanjang proses penggambaran.

"Kami terbuka untuk menerima cadangan dan peraturan yang dikeluarkan kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan wabak COVID-19 tidak menular sepanjang proses penggambaran.

"Kami akan memberi kerjasama dan mematuhi garis panduan kerajaan sepanjang proses penggambaran. Malah, selepas kerja selesai, amalan kebersihan dan keselamatan maksimum akan diteruskan," katanya.

Sementara itu, Khoo berkata, PPFIM melancarkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban ahli antaranya membekalkan 200 keping topeng muka dan dua botol cecair pembasmi kuman untuk digunakan ketika bekerja di lokasi penggambaran atau pejabat.

"Kami turut memberi sumbangan RM300 kepada 100 kru produksi iklan dan filem yang memerlukan. Individu yang menerima bantuan ini merangkumi pekerja bebas yang bergantung sepenuhnya kepada bayaran berdasarkan kerja diterima. 

"Kalau hendak diikutkan, ada lebih 300 orang yang memohon bantuan. Namun, dengan dana yang ada, kami hanya mampu membantu 100 orang," katanya.

Sehubungan itu, PPFIM berharap kerajaan dapat menimbang rayuan dikemukakan bagi membantu kru produksi dan perfileman daripada dibebani kemelut kewangan berpanjangan.

Berita Harian X