Selasa, 12 Mei 2020 | 12:03pm
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim simpati nasib ahlinya yang hilang punca pendapatan selepas kerja penggambaran ditangguhkan. - NSTP/Rohanis Shukri
Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim simpati nasib ahlinya yang hilang punca pendapatan selepas kerja penggambaran ditangguhkan. - NSTP/Rohanis Shukri

FDAM rayu benarkan penggambaran

KUALA LUMPUR: "Kami penggiat seni nak 'shooting', minggu ini. Kami bersedia dan akur pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ada. Mohon kelulusan."

Begitulah rayuan Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London dalam laman Facebook (FB) miliknya, semalam.

"Penggambaran dalam bangunan dengan jumlah kru produksi kurang daripada lima orang patut dibenarkan. Produksi filem dan televisyen agak sukar nak kawal penggambaran berskala besar, walaupun ada kawalan serta pemantauan rapi," katanya dalam hantaran FB.

Hantaran berkenaan ditujukan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Majlis Keselamatan Negara susulan kelonggaran diberi kepada beberapa sektor industri untuk beroperasi semula berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei lalu.

Ahmad berkata, anggaran 50 syarikat penerbitan mengemukakan permohonan penggambaran filem, iklan dan program televisyen setiap bulan, sebelum PKP dikuat kuasa.

"Syarikat penerbitan kehilangan punca pendapatan kerana terpaksa menangguhkan kerja penerbitan berikutan tempoh PKP dikuat kuasa sejak 18 Mac lalu. Ini sudah tentu menjejaskan kehidupan pekerja termasuk ahli FDAM yang kebanyakannya pengarah sambilan tanpa pendapatan tetap," katanya.

Katanya, FDAM dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sudah melancarkan tabung bantuan bagi meringankan beban ahli, baru-baru ini.

"FDAM sentiasa menerima maklum balas dan keluhan ahli yang tidak dapat meneruskan tugas dan menjejaskan mata pencarian mereka. Malah, ada antara mereka terpaksa membuat kerja lain seperti jualan makanan dalam talian untuk menampung hidup.

"Hampir 100 ahli kami yang kritikal menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM200 seorang," katanya.

FDAM yang ditubuhkan pada 1990 kini mempunyai kira-kira 1,200 ahli. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X