Rabu, 13 Mei 2020 | 8:30am
Datuk Jurey Latiff Rosli mohon kerajaan mempertimbangkan rayuan pekerja industri kreatif selepas lebih 50 hari terputus punca pendapatan. - FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Datuk Jurey Latiff Rosli mohon kerajaan mempertimbangkan rayuan pekerja industri kreatif selepas lebih 50 hari terputus punca pendapatan. - FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN

Gelisah penggiat seni

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan tidak membenarkan penggambaran dimulakan, sedangkan sektor lain boleh beroperasi seperti biasa mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pekerja seni yang kini berdepan masalah kewangan.

Hampir dua bulan tidak bekerja, ditambah pula tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuat kuasa selama empat minggu bagaikan menambah kesengsaraan pekerja seni.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berharap, kerajaan dapat mempertimbangkan kebenaran untuk industri kreatif kembali memulakan penggambaran dalam tempoh PKPB.

Jurey berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) pada 30 April lalu. Malangnya, tiada sebarang maklum balas hingga hari ini.

"Surat dihantar atas persetujuan semua persatuan dalam industri seni. Kami terpaksa mengambil inisiatif ini kerana bersimpati nasib pekerja seni yang tidak mampu bertahan selepas hampir dua bulan tiada mata pencarian.

"Mereka bukan menagih bantuan khas, tetapi cukuplah sekiranya diberikan kebenaran untuk meneruskan penggambaran yang tertangguh. Ini kerana sektor lain sudah pun memulakan kembali operasi sejak 4 Mei lalu.

"Apa yang menjadi persoalan kenapa warga seni masih tidak dibenarkan kembali bekerja? Sedangkan, kami lihat orang ramai sudah keluar sesuka hati sejak PKPB dilaksanakan, tetapi industri seni seperti dipinggirkan," katanya kepada BH Online.

Jurey berkata, dia menerima banyak rungutan pekerja seni yang terkesan akibat PKP, apatah lagi kebanyakan mereka tidak bergaji, hanya bergantung pendapatan harian.

"Kebanyakan pekerja seni bekerja secara kontrak dan menerima gaji hari. Jika ada kerja, adalah gaji. Bagaimanapun, mereka buntu terputus punca pendapatan sejak hampir dua bulan tempoh PKP dilaksanakan.

"Persatuan pula hanya mampu menghulurkan bantuan sekali sahaja kerana kami juga tidak memiliki dana. Ada antara mereka terpaksa mengorek duit simpanan, tetapi mana ada simpan lagi apabila PKPB dilanjutkan hingga 9 Jun.

"Lagi pun, banyak mana yang mampu disimpan jika sekadar makan gaji hari. Sudah tentu, duit semakin licin buat mereka yang berkeluarga dan mempunyai komitmen bulanan," katanya.

Pengarah filem Libas dan Malay Regiment itu berkata, ada juga yang meminta PTVM membantu menjelaskan sewa rumah kerana pemilik enggan memberikan pelepasan enam bulan seperti disarankan kerajaan.

"Bagaimana mahu membantu, sedangkan kami sendiri mempunyai komitmen dan tanggungan keluarga.

"Bukan sahaja hilang punca pendapatan, tambah menyedihkan apabila pekerja seni tidak mempunyai caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWS). Justeru, mereka tidak dapat menikmati pengeluaran RM500 menerusi i-lestari.

"Begitu juga ada yang tidak layak mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Setidaknya, sekiranya mempunyai sokongan dua sumber berkenaan, dapatlah meringankan bebanan," katanya.

Jurey berkata, pekerja seni tiada masalah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan sekiranya diberi keizinan untuk kembali memulakan penggambaran.

"Kami akan mematuhi SOP seperti memakai penutup mulut dan hidung, menyediakan alat sanitasi di lokasi penggambaran, memastikan penjarakan sosial dan mengambil suhu badan semua artis dan kru sebelum memulakan penggambaran.

"Tak semua penggambaran membabitkan ramai kru produksi. Penggambaran pula tidak semestinya khusus kepada drama atau filem.

"Ada penggambaran program dokumentari atau bual bicara yang biasanya tidak membabitkan ramai kru. Jika kunjungan raya boleh dihadkan kepada 20 orang, tetapi kenapa penggambaran tak boleh sedangkan tidak ramai kru produksi yang terbabit.

"Kami akan mematuhi SOP ditetapkan, malah akan menasihati syarikat produksi mengelakkan babak bersentuhan antara pelakon. Tiada adegan bersentuhan tidak semestinya lakonan tidak menjadi, ia juga bergantung kepada kreativiti pengarah untuk mendapatkan sudut yang cantik," katanya.

Berita Harian X