Khamis, 14 Mei 2020 | 11:00am
Pengarah, Rashid Sibir bersimpati dengan nasib pekerja seni balik tabir yang bergelut meneruskan kelangsungan hidup akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Instagram Rashid Sibir
Pengarah, Rashid Sibir bersimpati dengan nasib pekerja seni balik tabir yang bergelut meneruskan kelangsungan hidup akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Instagram Rashid Sibir

Dua hari tak jamah makanan, dihalau rumah sewa

KUALA LUMPUR: Nasib penggiat seni balik tabir tidak ubah seperti telur di hujung tanduk. Kebanyakannya sudah tidak mampu bertahan lagi selepas hampir tiga bulan punca pendapatan terhenti berikutan penularan wabak COVID-19.

Hanya mampu meluahkan kekecewaan tatkala melihat sektor lain kembali beroperasi sejak 4 Mei lalu, sedangkan nasib penggiat seni yang makan gaji hari dan bekerja secara kontrak langsung tidak dihiraukan.

Penggiat seni bukan mahu meminta bantuan khas, mereka hanya minta kerajaan membenarkan warga seni kembali meneruskan penggambaran mengikut pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

Luahan itu dibuat pengarah popular, Rashid Sibir kerana bersimpati dengan nasib pekerja seni yang terjejas teruk akibat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebanyakannya bergelut meneruskan kelangsungan hidup.

"Ada kru mengadu sudah dua hari tidak menjamah makan. Ada pula hanya mampu menyediakan mi segera buat keluarga bagi mengalas perut kerana tiada sumber pendapatan.

"Lebih kasihan, ada yang mengadu dihalau rumah sewa kerana bayaran tertunggak selama beberapa bulan. Bagi kru masih bujang, mungkin boleh bertahan kerana tiada tanggungjawab kepada anak dan isteri.

"Sesetengahnya terpaksa meminjam wang daripada beberapa individu berbeza demi melangsaikan hutang rumah sewa kerana bimbang dihalau," katanya kepada BH Online.

Rashid berkata, disebabkan itulah, dia merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk pekerja seni kembali meneruskan penggambaran kerana kesempitan hidup kian mendesak.

"Apabila sektor lain kembali beroperasi ia sedikit sebanyak menimbulkan kekecewaan, seolah-olah penggiat seni kreatif tak wujud.

"Apa membezakan kami dengan sektor lain? Warga seni seperti dinafikan hak. Jika menyentuh SOP, kami tiada masalah untuk mematuhinya.

"Bagi saya, tindakan kerajaan membenarkan orang awam mengunjungi pusat membeli-belah lebih berbahaya berbanding penggambaran. Di lokasi penggambaran, kru adalah orang yang sama. Kami tidak mempunyai kontak dengan orang luar," katanya.

Pengarah yang terkenal dengan karya air mata itu berkata, soal penjagaan jarak sosial tiada masalah, pelakon boleh duduk berjauhan menerusi kerja suntingan.

"Kami tidak kisah mengehadkan jumlah kru produksi. Jika kerajaan mengizinkan 20 orang dalam satu masa ketika ziarah Aidilfitri, tetapi kenapa kami tak boleh meneruskan kerja penggambaran dengan kru tidak melebihi jumlah berkenaan?

"Lagipun, sudah banyak produksi dan pelakon mempraktikkan patuh syariah. Untuk adegan pukul dan bersalaman, ia langsung tidak bersentuhan seperti dilihat di kaca TV. Jadi, tidak sukar kami menyesuaikan diri dengan norma baharu ini," kata Rashid.

Pengarah kelahiran Batu Pahat, Johor itu berkata, orang sering melemparkan tanggapan warga seni mempunyai pendapatan lumayan. Hakikatnya, penggiat seni hanya meraih pendapatan secara harian.

"Kini, semua sudah kebuntuan memikirkan nasib selepas hampir tiga bulan tidak berkerja. Simpanan tinggi menggunung sekali pun, jika ditarah setiap hari pasti akan habis. Bayangkan, bagaimana nasib pekerja seni yang meraih pendapatan harian?

"Kami merayu kerajaan mengizinkan penggambaran diteruskan bukan untuk kepentingan sendiri, tetapi demi membela nasib penggiat seni balik tabir ini.

"Setidaknya, mereka boleh bekerja dan membuat persiapan raya jika kerajaan memberi kelonggaran dalam tempoh terdekat ini. Penggiat seni seni tiada caruman Skim Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dan kebanyakannya, tidak layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN)," katanya.

Katanya, beberapa penggiat seni yang berkemampuan tak kira pengarah, penerbit dan pelakon ada mengumpul dana membantu kru produksi yang terjejas, tetapi banyak mana bantuan mampu dihulurkan.

"Bantuan berupa barangan keperluan asas diagihkan sebanyak tiga kali sepanjang tempoh PKP, tetapi saya faham, ada pekerja seni yang lebih memerlukan bantuan berbentuk wang tunai berikutan mempunyai bil dan komitmen sewa bulanan yang perlu dijelaskan.

"Saya bergelar pengarah sudah lebih 20 tahun dan bekerja dengan ratusan kru produksi. Ada antara mereka yang langsung tidak saya kenali, tetapi menghubungi saya akibat terlampau terdesak.

"Mana yang mampu saya tolong, saya usahakan, tetapi jika jumlah yang diminta terlalu banyak, saya pun tak mampu memenuhi permintaan mereka. Kami mengambil inisiatif sendiri menghulurkan sumbangan, tetapi banyak mana sangat mampu dihulurkan," katanya.

Berita Harian X