Ahad, 17 Mei 2020 | 1:00pm
Sean Lee mengisi masa terluang diisi dengan menghasilkan kandungan untuk saluran YouTube dan laman sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Sean Lee
Sean Lee mengisi masa terluang diisi dengan menghasilkan kandungan untuk saluran YouTube dan laman sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - Foto Sean Lee

Sean Lee 'paranoid' keluar rumah

KUALA LUMPUR: Niat pelakon dan pengacara, Sean Lee, 26, meraikan Syawal bersama teman beragama Islam terpaksa dilupakan, tahun ini.

Jika tidak, pengacara program I Can See Your Voice Malaysia (ICSYVM) itu pasti tidak ketinggalan melakukan aktiviti ziarah menziarahi dan memenuhi majlis rumah terbuka.

"Nampaknya, saya tidak dapat mengunjungi teman yang meraikan Syawal, tahun ini memandangkan seluruh dunia diancam wabak COVID-19. Selalunya, saya pasti mengunjungi mereka dan menikmati juadah hari raya.

"Demi keselamatan, saya hanya duduk di rumah sahaja. Saya faham, ramai yang tidak dapat mengadakan rumah terbuka atau mengundang tetamu ke rumah," katanya kepada BH Online.

Hampir dua bulan berkurung akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Sean berkata, dia tidak rasa bosan memandangkan tinggal bersama keluarga.

"Keadaan saya tidaklah seteruk mana. Mungkin kerana keluarga ada bersama sepanjang masa, jadi tak rasa bosan. Saya tak boleh bayangkan sekiranya tinggal bersendirian dalam keadaan perintah berkurung ini.

"Jujurnya, saya semakin dapat menyesuaikan diri. Saya masih takut mahu keluar rumah biarpun angka positif COVID-19 berkurangan dan kebanyakan tempat juga sudah berada dalam zon hijau.

"Kebanyakan masa terluang diisi dengan menghasilkan kandungan untuk saluran YouTube dan laman sosial. Bagaimanapun, tidaklah banyak sangat kandungan yang sempat saya dihasilkan sepanjang tempoh PKP kerana ada masanya saya tiada mood," katanya.

Jejaka yang mula dikenali sebagai bintang YouTube sebelum dilamar membintangi drama Keluarga Ponti Mau itu berkata, penularan wabak yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu menyebabkan dirinya menjadi paranoid.

Sean atau nama sebenarnya, Sean Lee Jia Ern berkata, dia sedang menyesuaikan diri dengan normal baharu yang menjadi cara kehidupan masyarakat seluruh dunia.

"Wabak COVID-19 menjadikan masyarakat seluruh dunia lebih berhati-hati dengan keadaan sekeliling. Kehidupan kita bukan bertukar, sebaliknya virus ini menjadikan kita lebih berwaspada.

"Contohnya, sebelum ini, kita sentiasa berhati-hati dengan peragut, tetapi kini kesedaran semakin tinggi apabila perlu mengawasi virus yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar," kata Sean yang bakal muncul dalam edisi khas raya ICSYVM. Edisi raya program berkenaan menemui penonton pada 31 Mei ini, jam 9 malam di TV3.

Pelakon yang menempa populariti menerusi drama Sweet Dreams dan Demi Rindumu itu berkata, rakaman program berkenaan dibuat dalam tempoh awal PKP. Berikutan itu, jumlah tetamu dalam program berkenaan dihadkan sebagai langkah keselamatan.

"Peminat program ICSYVM tidak harus melepaskan peluang menontonnya kerana edisi raya sangat istimewa. Ia membangkitkan suasana raya.

"Lebih istimewa, kami mengundang penyanyi berpengalaman, Ramlah Ram. Saya mengagumi Ramlah kerana dia seorang penyanyi lagenda yang hebat dan sukar ditandingi," kata Sean.

Berita Harian X