Rabu, 20 Mei 2020 | 11:27am
Dibenarkan menyambung penggambaran selepas Aidilfitri, syarikat produksi perlu patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Foto Hiasan
Dibenarkan menyambung penggambaran selepas Aidilfitri, syarikat produksi perlu patuhi SOP yang ditetapkan kerajaan. Foto Hiasan

Boleh 'shooting' selepas raya

KUALA LUMPUR: Syarikat produksi filem, drama, dokumentari dan iklan dibenar menyambung aktiviti penggambaran selepas Aidilfitri.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, syarikat terbabit bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan.

"Syarikat produksi perlu memastikan kebersihan lokasi dan peralatan penggambaran mengikut panduan Kementerian Kesihatan.

"Kru produksi harus mengamalkan penjarakan sosial ketika berada di set penggambaran. Pelakon disaran menyolek wajah dan mendandan rambut sendiri bagi meminimumkan khidmat jurusolek.

"Perkhidmatan jurusolek dibenarkan tetapi haruslah memakai penutup muka penuh. Aksi bersentuhan juga perlu dielak dan syarikat produksi disaran menyediakan pengawal keselamatan bagi memantau pergerakan kru di lokasi agar tidak melanggar SOP," katanya kepada BH Online.

Terdahulu, BERNAMA melaporkan, Saifuddin mengumumkan kebenaran untuk syarikat produksi memulakan penggambaran selepas Aidilfitri ketika muncul dalam episod siaran langsung Facebook Duduk Rumah Harith Iskander bertajuk 'Masa Depan Siaran Langsung Hiburan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat', malam tadi.

Saifuddin berkata, SOP itu dibentuk hasil perbincangan kementerian, Kementerian Kesihatan, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan persatuan penggiat seni tanah air.

"Kementerian sudah membawa isu industri seni ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkaitan COVID-19 yang diadakan tiga kali seminggu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kementerian tidak pernah meminggirkan penggiat seni tanah air tetapi keputusan tidak datang daripada kami. Sebaliknya, perlulah melalui kelulusan barisan dipengerusikan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Selagi persetujuan daripada Kabinet tidak diluluskan, selagi itulah kami tidak boleh mengeluarkan SOP seperti yang diumumkan minggu lalu," katanya.

Saifuddin berkata, sejak PKP dikuatkuasakan, kementerian mengambil berat aduan penggiat seni.

"Beberapa siri mesyuarat bersama penggiat seni dari sektor perfileman, pekerja filem, penyanyi dan sektor animasi serta permainan video diadakan.

"Mereka sudah dimaklumkan mengenai tindakan yang diambil kementerian sejak minggu ketiga Mac.

"Tidak cukup itu, kita adakan sidang video bersama penggiat seni," katanya yang mengesahkan menerima memorandum daripada pekerja seni.

Saifuddin berkata, kementerian turut menyalurkan dana melalui FINAS dan beliau sendiri menambah peruntukan sebagai menteri bagi membantu penggiat seni dalam kategori B40.

"Nasib penyanyi juga tidak dipinggirkan apabila kementerian menganjurkan persembahan atas talian, Nyanyi Dari Rumah yang disiarkan menerusi saluran YouTube Muzik.my.

"Persembahan sama turut dianjurkan Radio Televisyen Malaysia (RTM). Setiap penyanyi dibayar berikutan kita faham situasi dihadapi mereka yang terjejas akibat PKP.

Mengenai persembahan secara langsung membabitkan konsert, persembahan teater dan panggung wayang, Saifuddin berkata, SOP untuk aktiviti terbabit sudah siap.

"Tetapi mesyuarat COVID-19 belum memberi keputusan kerana sekali lagi, kami perlu mendapatkan panduan Kementerian Kesihatan.

"Saya ada meminta mesyuarat khas menteri memaklumkan kementerian bila konsert boleh dianjurkan. Sekurang-kurangnya, penganjur konsert memerlukan tiga bulan untuk merancang dan melakukan kerja pemasaran serta promosi.

"Tetapi Kementerian Kesihatan meminta tunggu dahulu kerana perkara itu bergantung kepada perkembangan COVID-19," katanya.

Saifuddin berkata, biarpun tiada bantuan khas bagi membantu penggiat seni memulihkan operasi dan perniagaan, dana sedia ada melalui kementerian, FINAS, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan MyCreative Ventures boleh diguna pakai.

"Kami akan cuba mengurangkan karenah birokrasi dan membantu mempercepatkan proses kelulusan dana sedia ada.

"Kita akan berbincang dengan Kementerian Kewangan sama ada dana ini boleh diguna semula sebagai bantuan COVID-19. Saya yakin tentu ada pelan pemulihan kelak," katanya.

Berita Harian X