Isnin, 25 Mei 2020 | 11:00am
Aiman meminta rakyat terus akur arahan PKPB sepanjang musim perayaan agar rantaian COVID-19 diputuskan segera. Foto IG Aiman Tino
Aiman meminta rakyat terus akur arahan PKPB sepanjang musim perayaan agar rantaian COVID-19 diputuskan segera. Foto IG Aiman Tino

'Jangan suka-suka rentas negeri'

KUALA LUMPUR: Bagi Aiman Tino, apalah ertinya Syawal tanpa keluarga di sisi.

Biarpun menetap sendirian di Shah Alam, Selangor, tibanya 1 Syawal, hatinya meronta mahu pulang ke rumah keluarga di Kuala Kubu Bharu.

Mujurlah tidak dianggap merentas negeri, Aiman mahu merasai keseronokan beraya bersama keluarga besarnya, biarpun suasana cukup berbeza dengan penularan COVID-19.

"Raya tetap raya cuma caranya berbeza. Tahun ini, kita beraya secara sederhana. Insya-Allah, tahun depan, keadaan kembali normal.

"Saya tidak terlalu galak membuat persiapan raya, semuanya ala kadar. Beli baju raya pun dalam talian.

"Dengan situasi semasa ini, lebih baik kita berjimat cermat. Kita tidak tahu keadaan ekonomi negara apabila ada sektor terpaksa memberhentikan pekerja kesan penularan penularan wabak bahaya," katanya kepada BH Online.

Setiap kali tibanya Syawal, paling dinantikan Aiman atau nama penuhnya, Muhammad Aiman Yusri adalah rendang air tangan wanita paling istimewa dalam hidupnya.

"Wanita dimaksudkan itu adalah emak. Saya wajib makan rendang masakan emak. Juadah ini mesti ada, kalau tiada, macam tidak sempurna," katanya.

Aiman menganggap Aidilfitri sebagai ruang mengeratkan ukhwah sesama keluarga.

"Cuma tahun ini, kita diminta tidak keluar beraya atau merentas negeri suka-suka.

"Jadi, jagalah keselamatan diri dan insan tersayang. Apa yang pihak berkuasa lakukan adalah untuk kebaikan kita bersama.

"Nyawa adalah harta paling berharga daripada segala-galanya," katanya.

Aiman yang popular dengan lagu Ku Rela Di Benci reda apabila manusia diuji dengan pandemik COVID-19.

"Semua yang terjadi kehendak Tuhan. Macam-macam saya rasa apabila diuji begini.

"Namun, apa yang membuatkan saya bersyukur adalah baki masa yang ada. Kita tidak tahu bila Tuhan akan cabut nyawa kita. Saya banyak bermuhasabah diri.

"Saya selalu renung dan fikir ujian getir dan bala seperti ini mungkin disebabkan dosa manusia sendiri.

"Jadi, hargailah masa sekarang dengan memperbaiki diri dan terus dekat dengan Allah," katanya.

Aiman berkata, setiap orang perlu terus berdoa agar bumi dijauhi wabak COVID-19.

"Semoga Tuhan menjauhkan kita daripada penyakit memudaratkan," katanya yang muncul dengan lagu raya Suasana Hari Lebaran bersama artis naungan Aries Music.

Dalam perkembangan lain, Aiman memberitahu, dia mula tinggal bersendirian di Shah Alam, sejak pertengahan tahun lalu.

"Pada mulanya memang rasa kekok tinggal berasingan daripada keluarga. Tapi saya kena belajar hidup berdikari.

"Saya bukan makin muda. Jadi, saya perlahan-lahan membiasakan diri," katanya.

Aiman berkata, karier seninya masih dipantau ayah.

"Saya sudah biasa dengan ayah menguruskan karier sejak mula menyanyi. Ada baiknya ayah terus memantau.

"Saya pun takutlah kalau tersasar atau terpesong. Alhamdulillah, setakat ini, masih terkawal," kata adik kepada penyanyi Fara Hezel ini.

Sekian lama terperap terperap di rumah, Aiman mengaku rindu dengan kehidupan normal.

"Saya rindu keluar rumah macam biasa tanpa ada rasa takut. Saya hendak kembali bekerja dalam bidang seni seperti selalu.

"Saya juga rindu hendak memancing ikan dengan kawan-kawan. Namun, buat sementara waktu, kita mesti terus berjaga-jaga.

"Laksanakan peranan kita seperti kerajaan dan petugas barisan hadapan sedang buat demi memastikan keselamatan dan nyawa rakyat," katanya.

Berita Harian X