Isnin, 25 Mei 2020 | 5:00pm
Mia merahsiakan jantina anak kedua yang bakal dilahirkan akhir bulan depan. Foto Ihsan Mia Ahmad
Mia merahsiakan jantina anak kedua yang bakal dilahirkan akhir bulan depan. Foto Ihsan Mia Ahmad

Mia raya ala kadar

KUALA LUMPUR: Menyambut Aidilfitri secara sederhana, tumpuan pelakon, Mia Ahmad lebih menjurus kepada anak kedua yang dijangka dilahirkan, akhir bulan depan.

Biarpun teruja menyambut Syawal, namun isteri penjaga gol pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan ini sibuk membuat persiapan menyambut kehadiran si kecil.

"Insya-Allah saya dijangka melahirkan anak kedua ini pada akhir Jun. Jadi, saya beraya di Johor bersama keluarga.

"Sambutan sekadar seadanya. Persiapan ala kadar. Malah, baju raya adalah sehelai dua... Hari Raya kali ini saya tidak beriya sangat," katanya kepada BH Online.

Namun, Mia tetap melayan suami dan anak sulung yang berusia hampir dua tahun, Sayf Issa menyambut Aidilfitri.

"Rasa teruja untuk menyambut Aidilfitri dan mahu melahirkan anak kedua sangat berbeza," katanya.

Ditanya apakah sudah dimaklumkan mengenai jantina anak dalam kandungan, Mia enggan bercerita.

"Mana boleh beritahu... Tunggu sehingga bayi lahir. Saya akan berkongsi di Instagram... Insya-Allah.

"Saya berdoa proses kelahiran bayi ini dipermudahkan dan lancar," katanya.

Mengenai wabak COVID-19, Mia reda dengan musibah menimpa manusia sekarang.

"Dalam situasi genting sekarang, semua kena hadapi ujian ini. Semoga kita akan terus dilindungi.

"Sama-sama kita pikul tanggungjawab demi kebaikan bersama," katanya.

Berita Harian X