X
Isnin, 25 Mei 2020 | 7:00pm
Ahmad Tarmimi menjaga arwah ketika hayatnya. Foto Ihsan Ahmad Tarmimi Siregar
Ahmad Tarmimi menjaga arwah ketika hayatnya. Foto Ihsan Ahmad Tarmimi Siregar

Sedih tak dapat ziarah pusara isteri

KUALA LUMPUR: "Sejak arwah sakit, Hari Raya tidak semeriah dahulu. Selepas isteri pergi, raya makin suram."

Demikian luahan pelakon veteran, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar yang kehilangan isteri, Allahyarhamah Datin Zulhaila Siregar Sulaiman akibat penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), baru-baru ini.

Ahmad Tarmimi berkata, ketika hayat isterinya, Aidilfitri diraikan sederhana terutama selepas arwah terlantar.

"Selalunya selepas solat Aidilfitri, saya pulang ke rumah untuk menjaganya. Kami tidak pergi ke mana-mana pun.

"Anak-anak ada yang tinggal bersama kami. Jadi, kami beraya di rumah. Ketika ibu bapa masih hidup, kami pulang ke kampung.

"Sejak mereka tiada dan arwah tidak sihat, kami beraya di sini sahaja. Tahun ini memang sangat terasa.

"Lebih memilukan, tak dapat ziarah pusara arwah," katanya kepada BH Online.

Berpuluh tahun hidup bersama, aktor berusia 70 tahun ini mengaku amat sukar melupakan wanita yang bertakhta dalam hatinya itu.

"Selepas pemergian arwah, saya masih lagi tidur di bilik tempat dia terlantar.

"Sejujurnya, sehingga kini, masih terbayang-bayang wajah lesu arwah yang terbaring di katil.

"Telinga saya ini juga seakan-akan terngiang bunyi loceng tanda dia memanggil saya.

"Kawan-kawan saya ada juga nasihatkan supaya jangan tidur di bilik itu. Mereka bimbang jika terlalu asyik teringat, saya jatuh sakit.

"Buat masa ini, biarlah saya tidur di bilik itu sambil imbau nostalgia saat kami masih bersama," luahnya dalam nada sebak.

Ditanya apa yang dilakukan apabila rindu bertandang, pelakon filem Abang ini memberitahu, hanya doa yang mampu dititip untuk kesejahteraan Allahyarhamah di alam baqa.

"Apabila terlintas ingatan terhadap arwah, saya bertahlil. Sedekahkan apa yang patut untuk arwah.

"Ketika majlis tahlil tempoh hari, saya sedekahkan pakaian arwah kepada anak-anak dan saudara mara.

"Selain memanjangkan pahala Allahyarhamah, apabila tengok mereka pakai baju arwah, terubat juga rasa rindu," ujar pemenang kategori Pengarah Terbaik Anugerah Seri Angkasa 1992 ini.

Dalam perkembangan lain, drama lakonannya berjudul Korban Kasih mendapat sambutan hangat dengan pelbagai reaksi penonton.

Mengulas karakter Datuk Ismail lakonannya, Ahmad Tarmimi mengaku watak itu mengundang kebencian penonton.

"Ketika mula watak itu muncul, ramai tak suka. Saya terkena tempias apabila dikecam netizen.

"Mereka tak puas hati dengan sikap Datuk Ismail yang sanggup kehilangan anak akibat terlalu pentingkan diri sendiri," katanya.

Ahmad Tarmimi berkata, elemen kekeluargaan, kasih sayang dan air mata dalam drama itu menjadikan ia mudah diterima penonton.

"Temanya cukup relevan dengan masyarakat kita. Alhamdulillah, drama ini menjadi trending.

"Bukan mudah untuk drama RTM mencapai tahap itu. Kalau stesen televisyen (TV) swasta itu perkara biasa," katanya.

Berita Harian X