Selasa, 26 Mei 2020 | 8:30am
Mimi terjatuh di rumah dua malam sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Foto NSTP Aswadi Alias
Mimi terjatuh di rumah dua malam sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri. Foto NSTP Aswadi Alias

Mimi Loma terjatuh di rumah

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi era 1960-an, Mimi Loma dimasukkan ke hospital selepas terjatuh di rumahnya, dua malam sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri.

Anak saudara Mimi, penyanyi, Rozita Rohaizad memberitahu, ibu saudaranya yang mula sakit sejak 2016, tersungkur di rumah, tetapi dia hanya melakukan urutan pada bahagian sakit.

"Dua malam sebelum kita menyambut Hari Raya, Auntie Mimi tersungkur di lantai rumah. Dia hanya mengambil langkah mudah dengan mengurut saja.

"Bagaimanapun, pada malam raya, keadaan Auntie Mimi makin teruk hingga tidak mampu berjalan," katanya kepada BH Online.

Mimi, 74, atau nama sebenarnya, Siti Aminah Ismail adalah adik kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma dan Allahyarhamah Mariani.

Mimi aktif berlakon dan menyanyi pada era 1960-an dan pernah membintangi filem Ahmad Albab pada 1968.

Rozita berkata, ibu saudaranya masih diberi rawatan lanjut di hospital.

"Bagaimanapun, tiada pelawat dibenarkan menziarahinya sekarang," katanya.

Rozita berkata, sebelum ini, mata ibu saudaranya itu kabur dan paha kirinya pernah patah.

Mimi mempunyai seorang anak dan tiga cucu.

Berita Harian X