Selasa, 26 Mei 2020 | 1:00pm
Syafiq mengaku nakal ketika kanak-kanak hingga pernah ‘mendera’ ayam dengan letupan mercun. Foto Ihsan Syafiq Kyle
Syafiq mengaku nakal ketika kanak-kanak hingga pernah ‘mendera’ ayam dengan letupan mercun. Foto Ihsan Syafiq Kyle

'Capik budak nakal'

KUALA LUMPUR: Tiada istilah cuti buat pelakon drama rantaian popular, Nur, Syafiq Kyle, biarpun ketika berseronok meraikan Aidilfitri di samping keluarga tercinta.

Dalam sibuk menikmati keenakan juadah raya, Syafiq atau nama sebenar, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak tidak lupa komitmen kepada karier seni.

Biarpun tidak terikat dengan jadual penggambaran berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Syafiq perlu melunaskan komitmen dengan beberapa produk dalam menghasilkan kandungan digital.

"Jika ditanya mengenai cuti, rasanya jarang warga seni seperti kami dapat bercuti lama seperti orang yang bekerja di pejabat.

"Biasanya, pada 1 Syawal saya sibuk memuat naik suasana Hari Raya bersama keluarga untuk mengisi kandungan digital selain menghasilkan video untuk produk diwakili.

"Tetapi kerja ini tidaklah membebankan jika kita seronok melakukannya. Apa yang penting, saya masih dapat bergembira dengan keluarga di sisi," katanya kepada BH Online.

Lazimnya, Syafiq bersama keluarga pulang ke kampung halaman di Kuala Pilah, Negeri Sembilan untuk meraikan Syawal.

Namun, tahun ini, rutin itu terpaksa dilupakan berikutan penularan COVID-19. Sehubungan itu, pelakon berusia 28 tahun ini berhari raya di ibu kota saja.

Aktiviti menziarah kaum keluarga di Lembah Klang tetap dilakukan, tetapi Syafiq sekeluarga akan mematuhi syarat ditetapkan seperti penjarakan dan berkunjung dalam kumpulan kecil.

Namun, keseronokan Hari Raya kali ini, menurut anak kedua daripada tiga beradik lelaki itu, tidak sama.

"Perkara paling saya nantikan setiap kali Aidilfitri adalah mengerjakan ibadat solat sunat Hari Raya di masjid.

"Bagaimanapun, seperti kita sedia maklum, solat sunat Aidilfitri tidak dibenarkan di masjid dalam jumlah ramai, biarpun saya sebenarnya berharap," katanya.

Bagi Syafiq, biarpun dalam situasi sekarang, Aidilfitri mesti diraikan.

"Biarpun negara sedang mematuhi PKPB, bagi saya, raya tetap raya.

"Aidilfitri bukan sekadar berseronok menziarahi kaum keluarga, malah ia adalah suatu kemenangan dan menandakan Ramadan meninggalkan kita.

"Namun, bulan suci Ramadan pasti dirindui," katanya.

Bercerita mengenai juadah raya kegemaran, Syafiq berkata, dia suka makan nasi impit dan lemang bersama kuah kacang. Baginya, menu itu wajib ada selain biskut samperit dan batang buruk.

Mengenai suasana Hari Raya, Syafiq lebih suka beraya di kampung yang lebih meriah berbanding bandar.

Ketika kecil, Syafiq suka bermain bunga api dan mercun bersama sepupu setiap kali pulang ke kampung halaman.

"Walaupun di kampung tidak banyak aktiviti yang boleh dilakukan, saya lebih seronok kerana dapat berjumpa dengan ramai sanak saudara.

"Biasanya, jika di Kuala Lumpur, selepas solat sunat Aidilfitri, kami pergi menonton wayang," katanya.

Berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakan ketika kecil, Naib Juara Hero Remaja 2011/2012 ini mengaku pernah 'menyeksa' haiwan.

"Ketika itu, saya kecil dan nakal. Jika orang tanya kenangan paling tidak boleh dilupakan, saya akan ceritakan perkara sama.

"Saya pernah menangkap ibu ayam bersama beberapa ekor anaknya dan memasukkan ke dalam lubang.

"Kemudian, saya letupkan lubang dengan mercun. Bagaimanapun, ibu dan anak ayam semuanya selamat. Hanya seekor anak ayam terbakar pada ekornya.

"Kejadian itu memang tak boleh saya lupakan sehingga hari ini. Ketika itu, saya masih kecil, jadi memang suka melakukan perkara nakal," katanya.

Berita Harian X