Selasa, 26 Mei 2020 | 3:00pm
Gambar kenangan Rozita Che Wan dan arwah nenek pada Syawal tahun lalu. - Foto Instagram Rozita Che Wan
Gambar kenangan Rozita Che Wan dan arwah nenek pada Syawal tahun lalu. - Foto Instagram Rozita Che Wan

Nenek Che Ta meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pemergian arwah nenek tersayang, Allahyarham Munah Hadi, 91, memberikan kesedihan mendalam buat pelakon, Rozita Che Wan atau Che Ta ketika menyambut Syawal.

Kehilangan yang cukup pahit untuk ditelan Che Ta apabila arwah menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Jitra, Kedah, jam 5.06 petang, semalam.

Allahyarham meninggal dunia akibat sakit tua dan dikebumikan selepas waktu Isyak, malam tadi. Che Ta dan keluarga sempat pulang ke kampung halaman untuk bertemu arwah buat kali terakhir.

Che Ta berkata, arwah kerap masuk keluar ke hospital bagi mendapatkan rawatan, sejak beberapa bulan lalu. Bagaimanapun, keadaan semakin tenat dan dimasukkan ke hospital pada malam raya.

"Saya dan keluarga bergegas pulang ke Jitra, sejak tengah hari hari raya pertama lagi.

"Saya sempat menatap wajah dan berada di sisi arwah, sebelum menghembuskan nafas terakhir. Saya juga menjenguk arwah ketika dimasukkan ke hospital, beberapa bulan lalu.

"Saya reda dengan pemergiannya, malah seluruh keluarga saya bersedih atas pemergian insan tersayang," katanya kepada BH Online menerusi aplikasi WhatsApp.

Pelakon drama Kiah Pekasam dan Lelaki Kiriman Tuhan itu berkata, arwah nenek sangat rapat dengannya sejak kecil.

"Kehilangannya amat dirasai kerana arwah menjaga saya, sejak kecil. Arwah tinggal bersama mak dan adik beradik yang lain. Saya membesar dengannya.

"Saya dan adik beradik akan bergilir-gilir menjaga dan melayan jika arwah datang ke Kuala Lumpur," katanya.

Berita Harian X