Selasa, 26 Mei 2020 | 6:29pm
Dayangku Intan masih bersedih atas pemergian arwah anak ketiganya, Allahyarham Wanku Intan Syarafana Rosman (kanan) akibat pembedahan hati pada Februari lalu. - Foto Instagram Dayangku Intan
Dayangku Intan masih bersedih atas pemergian arwah anak ketiganya, Allahyarham Wanku Intan Syarafana Rosman (kanan) akibat pembedahan hati pada Februari lalu. - Foto Instagram Dayangku Intan

Rindu usikan arwah anak nyanyi lagu raya

KUALA LUMPUR: Sambutan Syawal penyanyi era 1980-an, Dayangku Intan dan keluarga tidak lagi ceria selepas pemergian anak ketiganya, Allahyarham Wanku Intan Syarafana Rosman akibat pembedahan hati pada Februari lalu.

Jika arwah masih ada, rumahnya gamat dengan suara usikan mengusik arwah mendendangkan lagu Senandung Hari Raya Untukmu menjelang hari raya.

"Saya akan memasak ketupat dan rendang, setiap tahun. Ini adalah juadah pagi raya yang wajib dihidangkan kerana makanan kegemaran arwah.

"Tahun ini, saya tak sanggup nak masak ketupat dan rendang, pasti teringatkan arwah. Saya rindu nak dengar suara arwah mengusik sambil menyanyi lagu Senandung Hari Raya Untukmu," demikian luahan hati penyanyi yang popular menerusi lagu Berpaut Di Dahan Cinta itu.

Dayangku Intan atau nama sebenarnya, Tengku Intan Tengku Abdul Hamid berkata sambutan Aidilfitri tidak hanya sederhana disebabkan pandemik COVID-19, tetapi juga ketiadaan anak kesayangannya itu.

"Saya cukup terasa meraikan Syawal tanpa arwah, tahun ini. Jika diikutkan, bukan hari raya sahaja, hari biasa pun hati sentiasa kesedihan kerana kami sangat rapat.

"Arwah, seorang anak yang ceria dan kuat. Walaupun sakit, tetapi arwah suka menceriakan saya dengan menyanyi dan kami akan tergelak.

"Kali terakhir kami sambut Aidiladha di hospital kerana arwah kekurangan darah dan imunisasi rendah, tahun lalu. Arwah memang sering keluar masuk hospital. Bagaimanapun, saya dan keluarga kena teruskan hidup kerana saya percaya arwah sentiasa ada bersama kami," katanya kepada BH Online.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, dia berkesempatan menziarahi pusara arwah beberapa hari sebelum Aidilfitri.

"Kami menziarah pusara arwah beberapa hari sambut raya kerana tidak mahu berdepan dengan bahaya bersesak dengan orang ramai. Lagipun, suami pernah menjalani pembedahan, jadi kami tak mahu menanggung risiko," katanya.

Arwah Wanku Intan dilahirkan tanpa hempedu iaitu Biliary Artresia dan mempunyai parut di hati. Sepanjang hayat, Allahyarham terpaksa berulang alik ke hospital sejak kecil untuk menerima rawatan.

Wanku Intan menjalani pemindahan hati yang didermakan adik bongsunya, Wanku Mohd Ruknuddean di Hospital Selayang, awal Februari lalu. Ekoran itu, Dayangku berkongsi anak bongsunya itu agak terkesan dengan pemergian kakaknya.

"Saya pernah membuat pemindahan organ kepada suami, Alhamdulillah berjaya. Bagaimanapun, berbeza bagi anak bongsu apabila pemindahan hatinya tidak berjaya.

"Anak bongsu seorang yang kuat. Dari kecil, dia menyimpan hatinya untuk arwah kakak. Jadi, apabila pemindahan hati tidak berjaya, ia sedikit sebanyak memberi kesan padanya. Mereka adik beradik sangat rapat, sejak kecil," katanya.

Bagaimanapun, Dayangku berkata, ketiadaan arwah dan pada masa sama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi hikmah besar dengan merapatkan hubungan mereka sekeluarga.

Berita Harian X