Rabu, 27 Mei 2020 | 8:30am
Filem Syif Malam Raya terbitan Ray Theme mendapat sambutan luar biasa, biarpun tidak ditayangkan di pawagam.
Filem Syif Malam Raya terbitan Ray Theme mendapat sambutan luar biasa, biarpun tidak ditayangkan di pawagam.

Syif Malam Raya kutip RM1.6 juta

KUALA LUMPUR: Filem Syif Malam Raya (SMR) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip RM1.6 juta pada hari keempat tayangan di Astro First.

Filem terbitan Ray Theme Sdn Bhd, manakala edaran United Studios itu secara tidak langsung membuktikan Astro First menjadi platform pilihan untuk menayangkan filem kerana mampu meraih kutipan seperti di pawagam.

Penerbitnya, Ahmad Fuzi Mansor berkata, pihaknya bersyukur dalam situasi semasa, filem SMR tetap berjaya meraih perhatian penonton.

"Saya bersyukur filem SMR mendapat sambutan luar biasa, biarpun tidak ditayangkan di pawagam. Ini adalah filem pertama terbitan Ray Theme.

"Asalnya, filem ini dijadualkan untuk tayangan di pawagam, tetapi terpaksa membuat pilihan lain apabila wabak COVID-19 belum berakhir.

"Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada artis, kru, pengedar dan Astro hingga filem ini menjadi satu fenomena dalam era normal baharu bagi tayangan sesebuah filem.

"Kejayaan ini memberi kami semangat untuk terus menerbitkan filem yang menghiburkan," katanya kepada BH Online.

Sejak ditayangkan 21 Mei lalu, filem ini mendapat maklum balas baik. Nyata lakonan pertama selebriti You Tube iaitu Yoe Pare, Asif Suhaimi dan Syahmi Sazly berjaya menarik perhatian penonton.

SMR menampilkan barisan pelakon popular seperti anggota kumpulan Zero iaitu Atu, Sharif dan Syaiful. Ia turut dibintangi Danial Lawak Solo, Ropie, Saiful Apek, Azlee Senario, Reen Rahim, Emelda Rosemila, Nadia Brian, Lia Natalia dan Shiela Mambo.

Filem arahan Datuk Profesor Dr A Razak Mohaideen itu buat kali pertama ditayangkan terus di pawagam rumah, Astro First menerusi saluran 480.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro sentiasa mencari langkah baharu bagi memastikan penonton dapat menikmati filem tempatan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Dengan adanya platform Astro First, sesebuah filem tetap dapat dinikmati dan mendapat sambutan hangat.

"Astro Shaw terus membuka pintu kerjasama dengan penerbit filem yang ingin memasuki Astro First, manakala publisiti dan pemasaran secara meluas akan diuruskan Astro Shaw seperti filem terbitan produksi mereka," katanya.

Selain SMR, filem Manap Karaoke masih ditayangkan di platform yang sama. Turut menanti tayangan dua filem, Ada Apa Dengan Dosa dan Town Mall.

Berita Harian X