Rabu, 27 Mei 2020 | 1:00pm
Ummi Nazeera bakal digandingkan dengan Izzue Islam dalam drama Cinta Jangan Pulang yang masih ditangguhkan penggambaran. - Foto Instagram Ummi Nazeera
Ummi Nazeera bakal digandingkan dengan Izzue Islam dalam drama Cinta Jangan Pulang yang masih ditangguhkan penggambaran. - Foto Instagram Ummi Nazeera

Watak Aisha julang Ummi Nazeera

KUALA LUMPUR: Kelengkapan suami dan anak menjadi keutamaan pelakon Korban Kasih, Ummi Nazeera, 30, ketika menyambut Syawal.

Buat kali pertama, Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainal Abidin menyambut Syawal tanpa membeli keperluan sendiri, tahun ini.

"Saya banyak membeli keperluan suami, Dr Mohd Izzar Anwari Abdul Khani dan anak, Ayra Aneesah. Lagi pun, saya menerima hadiah beberapa jenama.

"Sambil pakai, saya boleh membantu mempromosikan dalam Instagram. Dalam keadaan diuji dengan wabak COVID-19, kita memang kena saling membantu.

"Saya suka dengan koleksi yang diberikan," katanya yang paling menggemari juadah nasi minyak dan lemang pada pagi raya.

Ummi berkata, dia meraikan Syawal bersama keluarganya di ibu kota, tahun ini. Jika tidak, saban tahun mereka pulang ke kampung di Besut, Terengganu.

Pelakon filem Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Hikayat Merong Mahawangsa itu berkata, dia sepatutnya pulang berhari raya beraya di kampung suami di Kedah, tahun ini.

"Oleh sebab tidak dibenarkan merentas negeri, jadi kami beraya dengan ibu dan abang saya di Kuala Lumpur. Tidak mengapalah, ini semua demi kebaikan bersama. Kita harus mematuhi arahan kerajaan dan beraya dalam suasana normal baharu," katanya kepada BH Online.

Mengulas drama Korban Kasih, Ummi berkata, dia tak menyangka drama yang menggandingkannya dengan Saharul Ridzwan itu mendapat sambutan luar biasa, biarpun pada mulanya dikritik ramai.

"Saya dan Saharul sudah dua kali digandingkan dalam drama. Cuma, ini kali pertama kami berlakon sebagai pasangan bercinta. Sejujurnya, saya selesa bergandingan dengannya.

"Sebelum ini, kami berlakon dalam drama Chor & Chah siaran YouTube, beberapa tahun lalu.

"Alhamdulillah, drama Korban Kasih arahan Pali Yahya dan terbitan Mache Allstar United Sdn Bhd menjadi trending nombor satu di alam maya setiap kali disiarkan. Hinggakan ada yang sanggup menunggu siaran ulangan awal pagi jika terlepas siaran," katanya.

Pelakon yang diperkenalkan menerusi drama Ali Din pada 2008 itu berkata, dia sepatutnya menjalani penggambaran drama Cinta Jangan Pulang pada awal Ramadan.

"Namun, penggambaran ditunda kerana mematuhi perintah kerajaan dalam membendung penularan wabak COVID-19. Drama ini arahan mentor saya, Bade Azmi. Saya bakal digandingkan dengan Izzue Islam dan Datuk Fizz Fairuz.

"Saya diberitahu berkemungkinan penggambaran akan bermula pada penghujung Jun depan, tetapi kena tunggu keputusan pihak kerajaan terlebih dahulu," katanya.

Berita Harian X