Rabu, 27 Mei 2020 | 3:06pm
Zakaria sedia belajar daripada mereka yang pakar dalam bidang perfileman dalam memikul amanah sebagai Pengerusi baharu FINAS. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali
Zakaria sedia belajar daripada mereka yang pakar dalam bidang perfileman dalam memikul amanah sebagai Pengerusi baharu FINAS. Foto NSTP Mohamad Shahril Badri Saali

'Tiada latar belakang filem bukan masalah'

HULU KLANG: Pengerusi baharu Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Zakaria Abdul Hamid tidak melihat faktor kurang pendedahan dalam dunia perfileman menghalang dirinya memikul amanah menerajui organisasi itu.

Sedia belajar daripada mereka yang pakar, Zakaria yang juga ahli perniagaan dan aktivis masyarakat, berpegang kepada prinsip kerja yang betul.

"Saya ada dengar cerita (isu pelantikan politik)... Namun, itu bukan alasan membuatkan individu yang dipilih 'terkebelakang' dalam memikul tanggungjawab diamanahkan.

"Tiada masalah pun kerana sebelum ini, FINAS pernah diterajui individu yang berlatar belakang politik.

"Pada akhirnya, dalam mana-mana organisasi sekalipun, pemimpin itu perlu ada budaya kerja yang betul iaitu bersifat mesra, mahu mendengar kritikan dan boleh melaksanakan kerja," katanya pada sidang media pertamanya di Pawagam Mini P Ramlee di Kompleks FINAS di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi FINAS, Datuk Norman Abdul Halim serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Hassan Asbor Hassan Mutaat merangkap Timbalan Ketua Pengarah Produksi dan Teknikal FINAS.

Zakaria mengulas pemilihannya sebagai Pengerusi FINAS yang dikatakan lantikan politik, selain kemusykilan dibangkitkan penggiat industri kreatif apakah beliau yang tidak mempunyai latar belakang seni, mampu mengemudi perbadanan itu.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan Zakaria dilantik sebagai Pengerusi baharu FINAS, berkuat kuasa Ahad lalu.

Zakaria sedia belajar dengan mereka yang arif mengenai dunia perfileman sepanjang memikul tanggungjawab itu.

"Ada belakang seni atau tidak itu bukan masalah. Saya sedia belajar dan mendengar perihal dunia seni daripada mereka yang pakar," katanya.

Zakaria menambah, apa yang penting, amanah dua tahun yang diberikan kerajaan akan dilaksanakan sebaik mungkin.

Tambahnya, beliau bertuah kerana dikelilingi mereka yang pakar dalam bidang seni dan perfileman.

"Saya yakin kementerian percaya dengan kualiti yang dimiliki sekalipun tanpa latar belakang seni.

"Saya dibantu dengan pasukan kerja dengan kepakaran hebat. Saya umpama pemandu yang membawa sebuah kenderaan dan pada masa sama, tidak tergelincir," katanya.

Zakaria yang memiliki Ijazah Sarjana Perancangan Bandar daripada California State University, Amerika Syarikat (AS), menggantikan Datuk Hans Isaac yang berkhidmat sejak April 2019.

Berita Harian X