Isnin, 1 Jun 2020 | 8:30am
Bella Astillah dan anak menyambut Syawal berjauhan dengan suami, Aliff Aziz yang kini berada di Singapura. - Foto Instagram Bella Astillah
Bella Astillah dan anak menyambut Syawal berjauhan dengan suami, Aliff Aziz yang kini berada di Singapura. - Foto Instagram Bella Astillah

Bella ketepi kepentingan diri demi anak

KUALA LUMPUR: Sebagai manusia biasa, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 26, tidak terlepas melakukan kesilapan. Terlalu ikutkan perasaan marah, kisah keretakan rumah tangga bersama Aliff Aziz pernah dilepaskan dalam laman sosial.

Bagaimanapun, belajar daripada kesilapan, Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah enggan lagi melakukan kesilapan yang sama.

Berita hamil anak kedua dan rujuk dengan Aliff dalam tempoh edah, tahun lalu cukup mengejutkan ramai. Hingga ada yang mengecam, sudah ludah, jilat semula.

Pada akhirnya, ibu kepada Ayden Adrean, 3, meletakkan kepentingan diri ketepi biarpun diuji dengan pelbagai dugaan sepanjang melayari bahtera rumah tangga bersama penyanyi Sayang Sayang itu. Nyata, Bella lebih mengutamakan perasaan anak, selain keluarga dan mentua.

"Saya akui kesilapan dan terlalu ikut perasan marah. Saya tahu ramai yang mempertikaikan kenapa kongsi segala masalah dalam laman sosial, kemudiannya seperti menjilat semula.

"Saya juga hanya manusia biasa dan berdarah muda. Saya panas hati dan kongsi amarah terpendam. Bagaimanapun, apa yang berlaku mematangkan diri. Saya banyak belajar daripada kesilapan yang dilakukan.

"Kini, saya akan berfikir panjang sebelum berkongsi soal peribadi di laman sosial. Cuma, apabila rujuk dan hamil semula saya perlu berkongsi kerana bimbang mengundang fitnah. Apa yang lebih penting, ibu bapa, mentua dan keluarga di Sabah tahu apa yang berlaku," katanya kepada BH Online.

Bella berkata, biarlah dia terlebih dahulu membuka mulut memberitahu rahsia yang tersimpan selama ini, sebagai mana yang diumumkan dalam Instagram (IG) Live, pertengahan Mei lalu.

"Saya mahu memberikan masa kepada suami, sebelum mengeluarkan kenyataan secara terbuka. Dengan apa yang dilaluinya sebelum ini, Aliff memerlukan masa untuk menyelesaikannya.

"Kini, Aliff sudah lebih tiga bulan bekerja di sebuah pusat komuniti Islam, Jamiyah di Singapura. Sebagai isteri, saya gembira dia mahu berubah menjadi lebih baik. Aliff terbabit dengan kerja amal mengagihkan bahan mentah kepada mereka yang memerlukan," katanya.

Penyanyi lagu Tenang itu berkata, dia dan anak menyambut Syawal dalam serba sederhana. Memang sukar beraya bersama suami memandangkan tidak boleh merentas negara.

"Tidak mengapa, ia di luar kawalan dan demi kebaikan bersama ketika menempuh normal baharu ini.

"Biar terpisah jauh, saya dan Aliff memanfaatkan kemudahan teknologi termasuk membuat panggilan video dan muncul dalam IG Live bersama. Kebiasaannya, saya akan menyambut Syawal di Singapura mahupun Sabah. Tahun ini, hanya beraya di rumah sendiri di Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, saya, suami dan anak tetap berpakaian sedondon berwarna biru muda. Persiapan kami hanya ala-kadar," katanya yang banyak memanfaatkan masa bersama keluarga termasuk membuat biskut raya sepanjang Ramadan lalu.

Berita Harian X