Selasa, 2 Jun 2020 | 6:48pm
Beyonce menerusi entri video di Instagram meluahkan perasaan tersinggung atas perbuatan yang dianggap menjijikkan. - Foto Instagram Beyonce
Beyonce menerusi entri video di Instagram meluahkan perasaan tersinggung atas perbuatan yang dianggap menjijikkan. - Foto Instagram Beyonce

Bintang Hollywood berang pembunuhan tanpa belas kasihan

KUALA LUMPUR: Selebriti Hollywood turut melontarkan ketidakpuasan hati atas kematian lelaki kulit hitam, George Floyd ketika dalam tahanan polis di Minneapolis, Amerika Syarikat (AS) hingga menyaksikan ketegangan dan berlakunya tunjuk perasaan besar-besaran.

Penyanyi, Beyonce salah satu beberapa selebriti Hollywood yang menggunakan platform laman sosial untuk bangkit dan bertindak atas kematian Floyd, 46.

Isteri penyanyi Jay-Z itu menerusi entri video di Instagram (IG) meluahkan perasaan tersinggung atas perbuatan yang dianggap menjijikkan.

"Kami tak boleh menerima kesakitan ini. Saya tidak hanya bercakap sebagai wakil golongan kulit berwarna kerana saya percaya tak kira kulit putih, hitam atau coklat sekalipun, anda pasti terkesan dengan isu perkauman yang berlaku di AS sekarang ini," katanya.

Floyd meninggal dunia pada 27 Mei lalu selepas bahagian lehernya ditekan menggunakan lutut selama sembilan minit, oleh seorang anggota polis. Satu visual dirakam seorang pejalan kaki yang tersebar menimbulkan kemarahan seluruh negara.

Ekoran itu, Beyonce mengharapkan agar tiada lagi pembunuhan sebegitu berlaku pada masa hadapan.

"Tiada pembunuhan tanpa belas kasihan pada manusia. Tiada lagi melihat orang kulit berwarna sebagai satu kekurangan. Kita tidak boleh mengabaikan perkara ini.

"George adalah sebahagian daripada keluarga kita kerana dia adalah rakyat AS. Ini kali pertama melihat banyak pembunuhan kejam tanpa sebab munasabah. Ya, seseorang ditahan bersebab, tetapi tiada keadilan yang diperoleh.

"Disebabkan itu, marilah berdoa untuk keamanan dan kesembuhan pada negara," katanya.

Beyonce akhiri video dengan meminta peminat melayari laman sesawang yang mempunyai pautan kepada beberapa petisyen. Salah satu petisyen adalah diusahakan oleh Change.org yang mencecah lebih sembilan juta tanda tangan.

Selain itu, penyanyi dan pemuzik, Nick Cannon juga memberikan sokongan terhadap pergerakan tunjuk perasaan Black Lives Matter.

Bekas suami penyanyi Mariah Carey itu menegaskan, dia perlu ke Minneapolis menyertai protes ekoran kematian Floyd bagi melihat nilai kasih sayang komuniti di sana.

"Saya perlu melihat orang dalam komuniti, berapa besar nilai cinta dan kedukaan berpunca daripada perkara ini.

"Kami dapat merasai kesakitan, keperitan dan kemarahan mereka. Visual ini tidak boleh dihapuskan daripada fikiran kami.

"Apa yang kita perlukan adalah normal dan paradigma baharu. Saya mahu kita semua fokus pada sikap kemanusiaan dan menghapuskan sistem perkauman yang tidak perlukan, iaitu sistem tidak sama rata dan menindas komuniti pelbagai warna kulit di negara ini," katanya.

Katanya, sekiranya mahu berbicara mengenai jalan penyelesaian, ia bukan sahaja memerlukan pembaharuan sepenuhnya pada jabatan polis, tetapi sistem secara menyeluruh.

"Saya rasa ia bermula dengan menyingkirkan perkataan 'polis'. Kenapa perlu menjadi pegawai polis sekiranya anda boleh menjadi pegawai keamanan?

"Apabila melihat seorang anggota polis, kita sepatutnya rasa selamat. Mereka melindungi kita. Anak-anak saya takutkan anggota polis. Dalam fikiran, mereka adalah orang jahat," katanya.

Oleh sedemikian, Cannon meletakkan harapan pada Datuk Bandar Minneapolis dan St Paul untuk menyelesaikan kemelut ini.

"Saya mahu mereka bertindak segera dengan nilai kasih sayang dan belas kasihan. Melihat orang ramai menangis adalah suatu yang sangat menghampakan.

"Mereka tidak menyangka perkara seperti ini akan terjadi di Minneapolis. Tetapi, ia tetap terjadi. Ini adalah AS. Sekiranya ia boleh terjadi di Minneapolis, ia juga boleh terjadi di Georgia, Los Angeles, malah New York," katanya.

Tidak hanya itu, Justin Bieber meluahkan tanda sokongan terhadap perjuangan Black Lives Matter.

Menerusi IG, penyanyi yang popular dengan Yummy itu berkata, kehidupan semua orang tidak bermakna hingga golongan berkulit hitam mendapat keadilan.

"Inilah masanya bersuara memperjuangkan anti perkauman kerana berdiam diri tidak cukup," katanya.

Laporan daripada pemeriksa perubatan Hennepin County selepas bedah siasat menjelaskan, kematian Floyd sebagai satu pembunuhan disebabkan lemas selepas mengalami tekanan di leher, bukan kerana masalah berkaitan jantung, seperti dakwaan awal pihak berkuasa.

Majlis peringatan Floyd diadakan di Minneapolis dan pengebumiannya akan berlangsung pada 9 Jun ini di Houston, Texas tempatnya dibesarkan, menurut peguam keluarganya, Ben Crump.

Berita Harian X