Jumaat, 5 Jun 2020 | 8:30am
Raja Ilya dan suami, Trent Garret tetap menyemarakkan Syawal di Perth, Australia dengan mengundang keluarga dan rakan baik menikmati juadah tradisi Melayu. - Foto Instagram Raja Ilya
Raja Ilya dan suami, Trent Garret tetap menyemarakkan Syawal di Perth, Australia dengan mengundang keluarga dan rakan baik menikmati juadah tradisi Melayu. - Foto Instagram Raja Ilya

Raja Ilya sayu terkenang ibu

KUALA LUMPUR: Meraikan Syawal di perantauan menggamit kesayuan di hati pelakon, Raja Ilya, 35, lebih lagi berjauhan dengan ibunya yang tinggal seorang diri di Kuala Lumpur.

Ilya dan suaminya, Trent Garret kini berada di Perth Australia selepas tidak boleh pulang ke Malaysia berikutan penularan pandemik COVID-19.

Melihat wajah duka Ilya, suaminya mengadakan rumah terbuka untuk keluarga dan teman rapat meraikan Syawal bersama Ilya. Semangat yang ditunjukkan Trent menyentuh hati Ilya, selain mengubat kerinduan kepada keluarganya apabila mereka datang berkunjung.

"Sayu hati hanya Allah sahaja tahu. Saya tak dapat balik pulang ke Malaysia kerana tiada penerbangan. Kami sentiasa memeriksa jadual penerbangan, memang tiada sampai Jun. Bulan berikutnya, Julai barulah ada penerbangan ke Kuala Lumpur.

"Bagaimanapun, jika saya balik pun, warga asing tidak dibenarkan masuk ke Malaysia. Suami masih lagi memegang status warga asing, jadi sudah tentu kami tidak boleh masuk.

"Nak tak nak, saya terpaksa membuat keputusan menyambut Syawal di Perth. Saya tak pernah berjauhan dengan ibu ketika menyambut Aidilfitri. Lebih mengundang sebak apabila ibu memberitahu, sambutan Aidilfitri berbeza kerana ini kali pertama menyambutnya seorang diri," katanya kepada BH Online.

Bagaimanapun, Ilya berkata, dia tak lupa membuat panggilan video bersama ibu dan adik beradiknya bermaafan pada pagi raya.

Walaupun dipisahkan jarak jauh, Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohammad tidak sesekali mengetepikan tanggungjawab sebagai anak membuat persiapan raya untuk ibunya.

"Saya aturkan keperluan ibu. Saya membelikan lemang dan kuih raya, selain minta tolong rakan baik menemani ibu di rumah. Ibu pun ada masak juadah pagi raya dan memanggil rakan dan jiran terdekat, jadi tidaklah sunyi apabila ada yang datang berkunjung ke rumah," katanya.

Berkongsi sambutan Aidilfitri di Perth, wanita kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, Kerajaan Australia tidak membenarkan aktiviti berkumpul, jadi dia hanya menyambut Syawal secara sederhana.

"Bukan setakat di Malaysia, malah di sini juga tidak dibenarkan berkumpul lebih daripada 10 orang dalam satu masa.

Apabila mengadakan majlis rumah terbuka, kami mengatur kehadiran tetamu mengikut masa.

"Kami jemput tetamu hanya sekitar 30 orang. Jadi, ada datang sebelah pagi, tengahari dan malam," katanya.

Menjamu tetamu dengan juadah tradisi Melayu, Ilya meluahkan kesyukuran apabila dapat memberikan pengalaman sambutan Aidilfitri seperti di Malaysia buat tetamunya.

"Inilah kali pertama saya memasak untuk hidangan 30 orang. Saya tak pernah masak untuk orang ramai. Saya hidangkan makanan Melayu tradisional seperti rendang ayam dan daging serta ketupat. Lemang pula saya terpaksa beli lemang segera.

"Disebabkan saya tak jumpa biskut raya, jadi saya belajar dan buat sendiri. Pelbagai biskut raya saya buat, hanya satu tidak jadi iaitu putu kacang.

"Semua makanan tradisi saya buat sendiri, malah pencuci mulut seperti cendol pun saya hidangkan. Dapat juga saya perkenalkan makanan tradisi Melayu pada tetamu. Dari situ, mereka kenal kenal masakan budaya Malaysia," katanya.

Ilya berkata, dia dan suami turut menyemarakkan Aidilfitri dengan menggayakan pakaian tradisi.

"Kami membeli baju raya menerusi atas talian, mujur sempat sampai. Trent mengenakan baju Melayu dan saya pula baju kebaya nyonya. Warga asing tak kenal budaya Melayu, kecuali dua tetamu berasal dari Malaysia, tetapi mereka menetap lebih 30 tahun di Perth," katanya.

Berita Harian X