Jumaat, 5 Jun 2020 | 11:13pm
Ahmad Idham menyandang tugas Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bermula hari ini hingga 6 Jun 2022.
Ahmad Idham menyandang tugas Ketua Pegawai Eksekutif FINAS bermula hari ini hingga 6 Jun 2022.

Ahmad Idham kembali teraju FINAS

KUALA LUMPUR: Belum tiga bulan menamatkan khidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri dilantik semula menyandang kerusi berkenaan berkuat kuasa, hari ini.

FINAS menerusi kenyataan media mengesahkan perlantikan semula Ahmad Idham sebagai CEO baharu. Sebelum ini, kerusi yang ditinggalkan Ahmad Idham masih belum terisi hingga beliau dilantik semula.

Pada 10 Mac lalu, pengarah filem box-office, Adnan Sempit dan Jangan Pandang Belakang Congkak itu mengakhiri tugasan sebagai CEO selepas memilih menamatkan kontrak lebih awal.

Ahmad Idham berkata, dia bersyukur atas perlantikan dan kepercayaan yang diberikan.

"Alhamdulillah, atas perlantikan yang diberikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan ahli perbadanan FINAS.

"Saya akan meneruskan perjuangan ini. Insya-Allah, saya akan melaksanakan tugas yang terbaik demi pembangunan industri kreatif yang disayangi ini.

"Saya akan memulakan tugas pada Selasa depan," katanya ketika dihubungi BH Online.

Sementara itu, FINAS berbesar hati mengumumkan pelantikan Ahmad Idham sebagai CEO FINAS yang baharu berkuat kuasa hari ini hingga 6 Jun 2022.

"Semoga pelantikan beliau, FINAS akan terus menjana kecemerlangan sebagai badan yang maju, menggalak dan memelihara industri perfileman negara," kata FINAS menerusi kenyataan media, malam ini.

FINAS merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan terhadap pembangunan semula sektor ekonomi industri kreatif negara yang terjejas berikutan wabak COVID-19 dengan menyediakan insentif dan dana.

Sehubungan itu, FINAS menyambut baik atas peruntukan sebanyak RM225 juta sebagai insentif rangsangan ekonomi kepada industri ini melalui pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Pendek yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

"Beberapa program dan kemudahan kewangan menjana semula industri kreatif akan dikawal selia oleh menteri yang pastinya akan memberi manfaat kepada penggiat seni," kata lampiran kenyataan berkenaan.

Berita Harian X