Ahad, 7 Jun 2020 | 7:52pm
PU Syed menjelaskan penilaian dibuat terhadap ‘kegilaan’ baharu ‘Lathi Challenge’ menunjukkan hukum bagi cabaran itu adalah haram disebabkan beberapa faktor. Foto IG PU Syed Bakri al-Yahya
PU Syed menjelaskan penilaian dibuat terhadap ‘kegilaan’ baharu ‘Lathi Challenge’ menunjukkan hukum bagi cabaran itu adalah haram disebabkan beberapa faktor. Foto IG PU Syed Bakri al-Yahya

Henti sahut Cabaran Lathi

KUALA LUMPUR: Cabaran Lathi yang menyaksikan transformasi wajah cantik menjadi hantu melalui teknik solekan hingga dikhuatiri menyalahi syarak, perlu dihentikan, kata Pencetus Ummah (PU), Syed Bakri al-Yahya.

PU Syed berkata, penilaian dibuat terhadap 'kegilaan' baharu Cabaran Lathi atau 'Lathi Challenge' menunjukkan hukum bagi cabaran itu adalah haram disebabkan beberapa faktor selain menyalahi syarak.

"Saya berpandangan perbuatan yang sedang tular ini haram. Cabaran Lathi menyalahi apa yang dibenarkan syarak berlandaskan kepada dalil hadis," katanya kepada BH Online.

Mengikut laporan Malaysiakini, 'Lathi Challenge' dikatakan bermula selepas remaja dari Indonesia, Jharna Bhagwani, tampil menyahut cabaran pengikut untuk membuat kandungan klip video menggunakan lagu Lathi pada 18 Mei lalu.

Jharna menghasilkan kandungan memaparkan transformasi solekan dari wajah cantik bertukar menjadi hantu, selain menari mengikut lagu sambil mengenakan pakaian tradisional Jawa.

Laporan itu menyebut, Lathi, sebuah lagu hit di Indonesia yang menggunakan judul dan bahasa Jawa yang bermaksud 'dari lidah, batinku atau tutur kata' diterbitkan pada 27 Februari lalu.

Karya itu didendangkan pemuzik dari Indonesia yang menggelarkan diri mereka, Weird Genius secara kolaborasi bersama rapper dari Surabaya, Sara Fajira.

Walaupun video klip itu dikatakan seolah-olah memuja atau menyeru pontianak, lirik lagu terbabit berkisar wanita yang terjebak dalam hubungan cinta toksik.

Pelakon, Mawar Rashid terpalit kontroversi apabila tampil dengan video melakukan aksi ‘Lathi Challenge’ yang dikritik netizen seperti menyokong aktiviti pemujaan. Foto IG Mawar Rashid
Pelakon, Mawar Rashid terpalit kontroversi apabila tampil dengan video melakukan aksi ‘Lathi Challenge’ yang dikritik netizen seperti menyokong aktiviti pemujaan. Foto IG Mawar Rashid

Terbaru di Malaysia, pelakon, Mawar Rashid terpalit kontroversi apabila tampil dengan video melakukan aksi 'Lathi Challenge' yang dikritik netizen seperti menyokong aktiviti pemujaan yang dikaitkan dengan aksi berkenaan.

PU Syed memetik Hadis Riwayat Iman Muslim yang menyebut:

"Barang siapa yang merintis suatu sunnah (yang baik) dalam Islam, maka baginya pahala amalan yang dirintisnya itu, serta (dia juga beroleh) pahala orang yang mengamalkan selepasnya.

"Dan barang siapa yang merintis suatu sunnah (yang buruk) dalam Islam, maka baginya dosa amalan yang dirintisnya itu, serta (dia juga beroleh) dosa orang yang mengamalkannya selepas itu," katanya.

PU Syed sedar ada pihak mencabar dan mempersoalkan tindakannya menghalang umat Islam menyahut Cabaran Lathi.

"Dengan merakamkan video berlatar belakang lagu dengan solekan ala-ala syaitan, dan kita masih mahu kata perbuatan itu harus dilakukan.

"Hukum dalam agama bukan berdasarkan akal semata mata tetapi ada nas. Saya guna hujah dan dalil, namun, ada yang cabar kata itu dan ini," katanya.

PU Syed berkata, sebagai hambaNya, umat Islam perlu menutup pintu fitnah kepada agama.

"Umat Islam supaya tidak terus merebak sekali gus melalaikan manusia.

"Sila teruskan jika rasa cabaran ini sunnah yang baik. Saya tak mampu nak menyekat kecuali hanya menegur.

"Harus ingat anak kecil melihat aksi ini. Ramai menirunya terutama golongan wanita dengan gaya mengaibkan," katanya.

PU Fendi menjelaskan, perbuatan Cabaran Lathi hukumnya haram kerana nyanyian yang seperti menyeru syaitan.
PU Fendi menjelaskan, perbuatan Cabaran Lathi hukumnya haram kerana nyanyian yang seperti menyeru syaitan.

Sementara itu, PU Fendi atau nama sebenar, Mohd Affendi Mohamed Nor berkata, Cabaran Lathi jika dilihat daripada sudut agama seperti memuja syaitan.

"Benar ada yang tidak terima apabila kita larang. Ada dakwa bukan puja tetapi sekadar suka-suka.

"Konteks suka-suka pun harus diingat, bukan semua perkara dalam agama Islam boleh dibuat sesuka hati.

"Kita kena ingat satu perkara, syaitan kalau hendak menggoda manusia, tidak semestinya manusia itu jadi kafir.

"Cukup manusia buat amalan kafir, sudah memadai. Kalau dilihat dalam kitab talbis Iblis karangan Ibn Jauzi, ada enam tingkat bagaimana syaitan atau iblis itu mahu menggoda manusia," katanya.

PU Fendi menjelaskan, perbuatan Cabaran Lathi hukumnya haram kerana nyanyian yang menyeru syaitan.

"Di Malaysia, sebelum ini ada budaya atau tarian tradisi ke arah seperti apa yang saya maksudkan.

"Lathi Challenge membawa kepada gaya membaca jampi serapah hingga akhirnya datang roh jahat menguasai diri.

"Kalau dilihat kepada cabaran itu, pada awalnya, pemujaan itu belum masuk sehinggalah mereka berubah wajah pada akhirnya," katanya.

PU Fendi berkata, usah fikir cabaran itu terlalu ringan dan tidak mendatangkan apa-apa kesan.

"Kita harus ingat syaitan hendak kita ikut apa dilakukan, walaupun belum jadi kafir dan bertukar agama. Hentikanlah amalan begini," katanya.

Berita Harian X