Jumaat, 12 Jun 2020 | 10:00am
Siri animasi Upin & Ipin menawan hati peminat di rantau ini dengan jalan cerita dan karakter menarik terutama bagi kanak-kanak.
Siri animasi Upin & Ipin menawan hati peminat di rantau ini dengan jalan cerita dan karakter menarik terutama bagi kanak-kanak.
Burhanuddin berbangga saluran Les’ Copaque Production setakat ini merekodkan lebih empat bilion tontonan. - NSTP/Azhar Ramli
Burhanuddin berbangga saluran Les’ Copaque Production setakat ini merekodkan lebih empat bilion tontonan. - NSTP/Azhar Ramli

Upin & Ipin rekod 10 juta pelanggan

KUALA LUMPUR: Mencipta sejarah, saluran YouTube milik studio animasi, Les' Copaque Production merekodkan 10 juta pelanggan sekali gus layak menerima Anugerah Diamond Play Button dari platform video berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) itu.

Les' Copaque Production yang cukup terkenal dengan animasi pasangan kembar, Upin & Ipin, muncul sebagai pengendali saluran YouTube pertama dari Malaysia mendapat pengiktirafan itu.

Berita gembira itu dikongsi Pengarah Urusan Les' Copaque Production, Burhanuddin Md Radzi yang mengesahkan kejayaan merekodkan 10 juta pelanggan dicapai pada jam 2.06 petang, semalam.

"Ini suatu pencapaian yang luar biasa dan amat membanggakan apabila menjadi saluran YouTube pertama dari Malaysia yang mencecah 10 juta pelanggan," katanya kepada BH Online.

Sebelum ini, Les’ Copaque Production yang menerbitkan siri animasi Upin & Ipin menerima anugerah Silver Play Button untuk 100,000 pelanggan dan Anugerah Gold Play Button untuk sejuta pelanggan.
Sebelum ini, Les’ Copaque Production yang menerbitkan siri animasi Upin & Ipin menerima anugerah Silver Play Button untuk 100,000 pelanggan dan Anugerah Gold Play Button untuk sejuta pelanggan.

Sebelum ini, Les' Copaque Production menerima anugerah Silver Play Button untuk 100,000 pelanggan dan Anugerah Gold Play Button untuk sejuta pelanggan.

Saluran YouTube Les' Copaque mula dilancarkan pada 2009.

Burhanuddin berkata, difahamkan, sehingga Februari lalu, 566 saluran YouTube di seluruh dunia merekodkan 10 juta pelanggan.

"Saluran YouTube kami memaparkan pelbagai produk seperti Upin & Ipin, Puteri, Pada Zaman Dahulu, DaDuDiDo dan terkini, Upin & Ipin The Helping Heroes yang mendapat tontonan lebih dua juta," katanya.

Burhanuddin berkata, setakat ini, saluran Les' Copaque Production merekodkan lebih empat bilion tontonan.

"Pencapaian ini sangat luar biasa. Kami mengucapkan terima kasih kepada peminat yang menyokong sejak sekian lama.

"Syabas kepada unit produksi Les' Copaque Production yang berjaya menghasilkan karya bermutu dan diminati ramai," katanya.

Berita Harian X