Ahad, 14 Jun 2020 | 9:43pm
Kematian Sushant Singh Rajput dilaporkan selepas beberapa hari pengurusnya bunuh diri dengan melompat daripada bangunan. - Foto Instagram Sushant Singh Rajput
Kematian Sushant Singh Rajput dilaporkan selepas beberapa hari pengurusnya bunuh diri dengan melompat daripada bangunan. - Foto Instagram Sushant Singh Rajput

Aktor Bollywood mati bunuh diri

MUMBAI: Pelakon Bollywood, Sushant Singh Rajput, 34, ditemui mati tergantung di kediamannya di Bandra, di sini, petang tadi.

Laporan awal mempercayai aktor yang mula popular dengan siri televisyen, Kis Desh Mein Hai Meraa Dil pada 2008 itu membunuh diri.

Mengikut laporan Hindustantimes.com, aktor itu ditemui mati di tingkat enam, pangsapuri manakala pihak polis mengesahkannya membunuh diri. Bagaimanapun, tiada nota ditemui di rumahnya.

"Rajput membunuh diri, pihak polis sedang menjalankan penyiasatan," kata jurucakap Polis Mumbai.

Sementara itu, pengurusan Rajput turut berkongsi mesej untuk peminatnya.

"Ia sesuatu yang menyedihkan untuk kami berkongsi bahawa Sushant Singh Rajput tidak lagi bersama kita.

"Kami memohon peminat sentiasa mendoakannya dan menghargai kerjanya seperti apa yang dilakukan sebelum ini.

Mohon media memahami dan membantu kami menjaga privasi pada saat menyedihkan ini," kata wakil syarikat pengurusan Rajput.

Kematian Rajput dilaporkan selepas beberapa hari pengurusnya, Disha Salian ditemui mati ekoran membunuh diri. Rajput turut membuat ciapan di Twitter mengenai berita mengejutkan itu. Salian membunuh diri dengan melompat daripada bangunan 14 tingkat di Malad, Mumbai.

Bintang Bollywood terkenal, Akshay Kumar dalam ciapan di Twitter meluahkan perasaan terkejutnya.

"Jujurnya, berita ini membuat saya terkejut dan tiada kata-kata. Saya masih ingat menonton lakonan Sushant Singh Rajput di Chhichhore dan memberitahu kawan saya, Sajid yang juga produser, betapa saya terhibur menonton filem berkenaan dan berharap dapat menjadi sebahagiannya.

"Beliau, seorang pelakon yang berbakat. Semoga Tuhan memberi kekuatan pada keluarganya," tulisnya.

Rajput mula popular dengan filem Kai Po Che pada 2014 di mana beliau untuk pelbagai anugerah filem di India.

Filem Sobat yang dihasilkan bekas eksekutif Disney, Ronnie Screwvala dan Siddharth Roy Kapur membuat kemunculan sulungnya di Festival Filem Berlin sebelum dilancarkan secara komersial di India dan peringkat global.

Beliau juga membintangi filem popular seperti PK, Kedarnath, Shuddh Desi Romance dan MS Dhoni: The Untold Journey.

Kebanyakan filem lakonannya mendapat pujian terutama filem biografi MS Dhoni: The Untold Story pada 2016, di mana Rajput menghidupkan watak kapten pasukan kriket. Filem lain yang hit termasuk Kedarnath pada 2018 dan Chhichhore (2019).

Tahun lalu, filem Drive lakonannya turut ditayangkan di Netflix. - AGENSI

Berita Harian X