Rabu, 24 Jun 2020 | 4:36pm
Pavithra dan suami, Sugu teruja melihat video Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut nama mereka ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), baru-baru ini. Foto BERNAMA
Pavithra dan suami, Sugu teruja melihat video Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut nama mereka ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), baru-baru ini. Foto BERNAMA

Saya tak akan jadi model - Pavithra

KUALA LUMPUR: Pasangan YouTuber sensasi, Sugu dan Pavithra yang berkongsi skil memasak dalam gaya tipikal rumah rakyat Malaysia, bersahaja dan jujur, menjadi buah mulut netizen, sejak beberapa bulan lalu.

Perhatian terhadap suri rumah ini memuncak apabila portal gaya hidup, fesyen dan hiburan, Pepatung mengabadikan transformasi wajah Pavithra atau nama penuhnya, S Pavithra, 28, kepada pesona anggun.

Netizen terkejut dengan perubahan wanita berasal dari Buntong, Perak itu selepas disolek Razzi Musa dengan menggayakan busana rekaan Bernard Chandran, Rizman Ruzaini dan Wanpa Official.

Ditanya mengenai transformasi itu, Pavithra mengelak dengan baik. Ini kerana ada pihak mula terfikir dia mahu berjinak-jinak dengan dunia peragaan yang glamor.

"Saya hanya penuhi permintaan portal. Ia menjadi sesi fotografi pertama dan terakhir saya.

"Tidak terfikir menjadi model atau apa sekalipun... Saya tak akan jadi model. Saya mahu terus lakukan rutin seperti biasa dengan memasak dan berkongsi kandungan di YouTube, selain jadi ibu dan isteri," katanya kepada BH Online.

Pavithra berkata, dia hanya orang biasa.

"Saya orang biasa. Saya selesa dengan status itu. Saya sebolehnya menolak hendak ditemubual di televisyen (TV)," katanya yang mempunyai dua anak berusia enam tahun dan dua tahun.

Ditanya mengenai perubahan hidupnya, Pavithra yang tiba-tiba popular dan beroleh pendapatan dengan berkongsi video memasak di YouTube, bersyukur percubaannya diterima.

"Saya mula berjinak-jinak dengan dunia YouTube sejak 28 Januari lalu. Saya lakukannya dengan sokongan suami, anak dan keluarga.

"Pada awalnya, saya tidak yakin, apakah orang akan suka cara saya memasak. Saya terfikir ada tak orang hendak tengok video memasak saya?

"Tapi sesuatu yang tidak terduga, sambutan diterima sangat positif dan menggalakkan. Mahu buka akaun YouTube ini pun kena ada syarat termasuk mendapatkan 1,000 pelanggan. Dalam hati terfikir, boleh tak dapat 1,000 pelanggan?

"Namun, akhirnya semua tersusun cantik di depan mata," katanya yang memiliki lebih 730,000 pelanggan di saluran YouTube Sugu Pavithra.

Pavithra mengaku tertanya-tanya mengapa videonya ditonton.

"Kenapa ramai yang suka cara saya memasak dan berceloteh? Saya dengar ada orang suka cara saya bercakap bahasa Melayu dengan baik selain gaya penyampaian biasa dan merendah diri.

"Apapun, saya bersyukur dengan rezeki ini. Saya pun bukan orang kaya. Dapatlah berkongsi rezeki dengan keluarga hasil pendapatan di YouTube," katanya.

Sementara itu, Pavithra menafikan dia memiliki akaun Instagram (IG) dan media sosial lain.

"Saya hanya ada satu akaun Facebook dan YouTube. Akaun media sosial lain itu semua palsu," katanya

Pavithra berkahwin dengan Sugu atau nama penuhnya, M Sugu, tujuh tahun lalu.

Berita Harian X