Sabtu, 27 Jun 2020 | 1:00pm
Ieda mula berhijab sejak bulan lalu. Foto IG Ieda Moin
Ieda mula berhijab sejak bulan lalu. Foto IG Ieda Moin

Ieda Moin mahu terus istiqamah

KUALA LUMPUR: Tanggal 18 Mac lalu meninggalkan impak besar dalam hidup pelakon, Ieda Moin.

Selain kerajaan mengisytiharkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tarikh itu, paling meruntun hati, Ieda hilang teman karibnya, Maya Matahari yang pergi menghadap Ilahi selepas bertarung dengan kanser sarcoma tahap empat.

Pada hari sama, insan tersayang, Mohd Amril Gulkhan Abdul Rahman, iaitu suami Ieda, meraikan ulang tahun kelahiran ke-37.

Semua insiden ini menggerakkan hati Ieda atau nama sebenar, Siti Haida Abdul Moin untuk segera menunaikan hasrat yang lama tersimpan iaitu memakai hijab.

"Sudah lama saya menyimpan hasrat bertudung. Jika diikutkan, tahun lalu, saya mahu berhijab, namun tuntutan kerja dan komitmen diperbaharui membuatkan niat itu tertunda.

"Namun, tarikh 18 Mac lalu menggerakkan hati saya. Banyak insiden terjadi seperti penularan COVID-19 dan pemergian arwah Maya yang membuatkan saya tersentak," katanya kepada BH Online.

Ieda yang mula bertudung sejak bulan lalu, mengaku sebelum membuat keputusan menyarung hijab, dia sering tidak selesa ketika memilih persalinan untuk keluar rumah.

"Serba-serbi tak selesa ketika memandang cermin. Orang tua saya pernah rasa pelik ketika saya berkunjung ke rumah mereka untuk berbuka puasa, Ramadan lalu.

"Saya tutup kepala dengan kain dengan alasan tidak mahu mandi dan membasahkan rambut.

"Namun, ketika meraikan hari jadi saya dan anak, Mei lalu, saya terus nekad untuk bertudung," katanya.

Mengenai rezeki selepas berhijab, Ieda tidak sedikitpun risau.

"Sebelum PKP, saya ada bertanya pengurus produksi, apakah timbul masalah jika dia bertudung. Jawapan diterima tiada masalah kerana mereka percaya bakat saya," katanya.

Ieda dan suaminya, Mohd Amril Gulkhan. Foto IG Ieda Moin
Ieda dan suaminya, Mohd Amril Gulkhan. Foto IG Ieda Moin

Ieda berkata, berkat doa ibu dan teman baiknya, Noorkhiriah, dia akhirnya bertudung.

"Saya nekad bertudung kerana sayangkan suami dan orang tua. Saya tak mahu mereka tanggung dosa diri ini jika tidak menutup aurat.

"Insya-Allah perlahan-lahan saya akan cuba istiqamah," katanya.

Berita Harian X